Skip to main content

Dunia

Rangkaian kes jenayah sasar pelancong di Bali baru-baru ini cetus kebimbangan, hotel perketat langkah keselamatan

Anggaran Waktu Membaca:
Rangkaian kes jenayah sasar pelancong di Bali baru-baru ini cetus kebimbangan, hotel perketat langkah keselamatan

Seorang wanita bergambar di sawah padi Tegallalang berhampiran Ubud di Bali. (Gambar: AFP/Mladen Antonov)

Diterbitkan : 02 Apr 2026 04:56PM Dikemas Kini : 02 Apr 2026 05:00PM
JAKARTA: Beberapa hotel di Bali sedang memperketat langkah keselamatan menyusuli rangkaian jenayah ganas baru-baru ini, termasuk tiga pelancong asing yang menjadi mangsa serangan seksual dalam tempoh tiga hari pada bulan lalu.

Pihak industri dan pemerhati mengatakan kelemahan seperti pengawasan yang lemah terhadap penyedia penginapan perlu ditangani bagi memberikan rasa selamat kepada pelawat, walaupun Gabenor Bali menegaskan bahawa pulau itu kekal selamat dan aktiviti pelancongan berjalan seperti biasa.

Kes serangan seksual tersebut, yang berlaku secara berasingan dari 23 hingga 25 Mac, adalah insiden terpencil, lapor Gabenor Wayan Koster pada 26 Mac. Polis Bali sudah menahan tiga lelaki warga Indonesia berkaitan jenayah tersebut.

Kes pertama melibatkan seorang wanita dari China yang dalam perjalanan pulang ke Wingsu Guest House di Kuta Utara dari sebuah kelab malam dalam keadaan mabuk sekitar pukul 4.30 pagi, menurut Polis Negara Indonesia.

Beliau menaiki motosikal pelaku tetapi tidak ingat sama ada beliau menggunakan aplikasi atau teksi motosikal tradisional, menurut polis. Pelaku merogolnya di kawasan berumput di Labuansait. Polis menahan suspek berusia 23 tahun itu apabila dia kembali ke rumah tumpangan tersebut untuk cuba memulangkan telefon bimbit wanita itu.

Kes kedua, pada 24 Mac, melibatkan seorang wanita Australia yang dirogol oleh seorang kakitangan keselamatan sebuah kelab malam di Seminyak apabila beliau kembali ke kelab tersebut untuk mengambil barangan peribadi yang tertinggal. Suspek, 29 tahun, didakwa merogolnya di dalam tandas kelab malam tersebut sekitar pukul 4.00 pagi. Dia ditahan pada 26 Mac.

Kes ketiga melibatkan seorang warga China dan berlaku di Canggu, Kuta Utara. Wanita itu pulang sekitar pukul 4.00 pagi dari sebuah pusat hiburan dan tidak menemui kunci bilik hotelnya, menurut polis Bali. Dia pergi ke kaunter hadapan untuk meminta bantuan dan kemudian diserang secara seksual oleh pelaku. Suspek, 24 tahun, digambarkan dalam pelbagai laporan media sebagai pekerja kaunter hadapan dan kakitangan keselamatan sambilan di hotel tersebut.

Sekurang-kurangnya dua warga asing juga sudah terbunuh di Bali dalam tempoh dua bulan lalu. Seorang lelaki Belanda maut ditikam pada 23 Mac semasa pulang ke vilanya di Kuta Utara bersama teman wanita Indonesianya. Dia diserang oleh dua lelaki yang tidak dikenali dan kemudian meninggal dunia di hospital.

Pada bulan Februari, pelancong Ukraine, Igor Komarov, diculik dan dibunuh di kawasan Jimbaran oleh sekumpulan warga asing semasa menunggang skuter bersama dua rakan. Mayatnya ditemui pada 27 Februari, kira-kira 30km dari tempat dia diculik. Pihak berkuasa telah mengenal pasti enam suspek yang masih bebas.

Lebih Rondaan, Kawalan Akses Lebih Ketat Yolla Oktavia, pengarah bakat dan budaya di Ayodya Resort di kawasan mewah Nusa Dua, berkata hotel tersebut telah memperkukuh pelbagai langkah keselamatan seperti meningkatkan rondaan, memasang CCTV di kawasan awam, dan memberikan latihan kepada kakitangan untuk mengendalikan kecemasan serta melindungi privasi tetamu.

"Kami juga menyemak dan melaraskan prosedur operasi standard (SOP), seperti memperketatkan kawalan akses dan meningkatkan pemantauan di kawasan terdedah," katanya kepada Mediacorp.

Pengusaha hotel Avi Purnomo berkata beliau tidak melihat kebimbangan ketara dalam kalangan pelancong, terutamanya yang menginap di "hotel yang mantap". Namun, beliau menegaskan pihaknya tidak memandang remeh jenayah baru-baru ini. Sebagai contoh, kakitangan pejabat hadapan tidak dibenarkan bertugas sendirian pada waktu malam untuk mengelakkan sebarang salah laku.

Gabenor Bali, Encik Wayan, sementara itu berkata keselamatan dan aktiviti pelancongan di pulau itu terus berjalan secara optimum. Namun, Encik Avi berpendapat pemerintah tempatan boleh berbuat lebih banyak dengan memperketatkan pengawasan terhadap penyedia penginapan, kerana banyak penginapan muncul tanpa kawalan atau pensijilan yang betul.

Pihak polis Bali menasihatkan pelancong supaya mengambil langkah berjaga-jaga. Pengarah siasatan jenayah umum, I Gede Adhi Mulyawarman, mencadangkan agar pelancong meninggalkan kelab malam sebelum tengah malam, berpakaian sesuai, dan tidak keluar bersendirian selepas tengah malam. Beliau menafikan dakwaan menyalahkan mangsa, sebaliknya menekankan kepentingan langkah pencegahan.

Data polis menunjukkan terdapat 339 mangsa jenayah warga asing di Bali pada tahun 2025, peningkatan sebanyak 47 peratus daripada 230 mangsa pada tahun 2024. Kecurian dan kecurian dengan kekerasan adalah jenayah yang paling kerap berlaku.

Pemerhati menyatakan bahawa jenis jenayah di Bali kini mula beralih daripada jenayah konvensional kepada yang lebih kompleks seperti narkotik dan keganasan seksual. Imej Bali sebagai destinasi selamat sangat bergantung kepada sejauh mana pantas, telus, dan tegasnya tindakan pihak berkuasa dalam menangani kes-kes ini.
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita