Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rang Undang-Undang mansuh hukuman mati dibentang pertama kali di Dewan Rakyat M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Rang Undang-Undang mansuh hukuman mati dibentang pertama kali di Dewan Rakyat M'sia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Malaysia Azalina Othman Said (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dibentang bagi bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin (27 Mac). 

Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Ketika mengemukakan rang undang-undang tersebut, Cik Azalina berkata ia juga akan dibentangkan bagi bacaan kali kedua pada mesyuarat kali ini.

Menurutnya, rang undang-undang itu bertujuan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman penjara sepanjang hayat dan sebatan; serta untuk mengadakan peruntukan bagi perkara berhubungan dengannya dengan meminda tujuh akta berkaitan.

Akta-akta tersebut ialah Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), Akta Senjata 1960 (Akta 206), Akta Penculikan 1961 (Akta 365), Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708), Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

Pindaan terhadap kesemua akta berkenaan adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dalam semua perundangan.

Selain itu, pindaan terhadap Akta 574 dilakukan bertujuan menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman mati yang tertakluk dengan budi bicara antaranya bagi kesalahan di bawah Seksyen 121A, 130C, 302 dan 374A.

Dengan pindaan itu, mahkamah mempunyai nilai budi bicara sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau hukuman penjara atau hukuman penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 40 tahun.

Kerajaan sebelum ini bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia dengan mengenakan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Keputusan itu dicapai menyusuli pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun 2022.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan