Rang Undang-Undang Kesalahan Seksual Kanak-Kanak diluluskan di Dewan Rakyat M'sia
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said ketika membentang Rang Undang-Undang pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada 29 Mac 2023. (Gambar: Malaysia)
Ia diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibentang untuk bacaan kali kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dan dibahaskan 10 Ahli Parlimen.
Menurut Cik Azalina, rang undang-undang itu antara lain adalah untuk menggantikan terminologi ‘pornografi kanak-kanak’ kepada ‘bahan penganiayaan kanak-kanak’ dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
“Sungguhpun kelihatan seperti penggantian istilah sahaja, ia memberi kesan yang besar kepada perspektif dan gambaran betapa serius serta perihal sebenar sifat jenayah eksploitasi dan penganiayaan seksual ke atas kanak-kanak,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu.
Selain itu, Cik Azalina berkata perkataan pornografi tidak lagi hanya merujuk kepada seksual tetapi juga penggunaan perkataan yang wujud dalam teknologi.
“Sekarang ni perkataan ‘porn’ itu tidak semestinya perkataan yang kotor. Kalau kita kekalkan perkataan ‘pornografi’ itu, kadang-kadang orang boleh wujudkan sebagai contoh dalam pemikiran kanak-kanak ayat yang wujud dalam teknologi.
“Contohnya ‘food porn’ itu makanan ataupun ‘poverty porn’, jadi tak semestinya pornografi itu hanya kepada seksual. Bila berhadapan kanak-kanak, ketidakfahaman mereka itu yang menyebabkan kadang-kadang mereka boleh terkeliru untuk memahami bahawa perkara ini boleh dilakukan,” katanya.
Awal dari itu, ketika membentangkan rang undang-undang tersebut, Cik Azalina berkata seksyen baru 15A yang memperuntukkan kesalahan mengenai persembahan seks, bertujuan untuk menangani isu seks penstriman langsung yang semakin berleluasa.
Melalui penggubalan seksyen baru 15A, beliau berkata bukan sahaja orang yang menonton dan mengambil bahagian dalam persembahan seksual kanak-kanak boleh didakwa, bahkan semua pihak seperti penganjur, orang tengah, atau mana-mana sindiket yang terlibat dalam melakukan kesalahan persembahan seksual kanak-kanak.
Beliau berkata hukuman yang dicadangkan adalah hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga didenda tidak melebihi RM50,000 (S$15,038).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.