Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rampasan kuasa gagal, Bung Moktar dijangka 'digugurkan' dalam rombakan kabinet Sabah

Anggaran Waktu Membaca:
KOTA KINABALU: Kabinet Sabah dilaporkan bakal dirombak menyusuli cubaan 'rampasan kuasa' yang didakwa didalangi oleh Parti Warisan (Warisan) dan sebahagian pimpinan Barisan Nasional (BN) Sabah gagal pada Khamis (5 Jan).

Menurut sumber dalaman, rombakan itu dijangka menyaksikan beberapa ahli kabinet BN digugurkan daripada jawatan dan digantikan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan (PH) Sabah, lapor Astro AWANI.

Nama-nama yang turut disebut akan digugurkan antaranya Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Bung Moktar Radin dan Menteri Pelancongan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Malaysia, Jafry Ariffin.

"Kemungkinan besar mereka (Bung dan Jafry) akan digugurkan. Bukan semua daripada BN akan digugurkan. Ketua Menteri hanya mahu pastikan kerajaan negeri terus berfungsi dengan baik", sumber berkata.

Pada masa sama, Encik Hajiji turut dikatakan akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bagi membincangkan mengenai rombakan tersebut pada Jumaat (6 Jan).

Sementara itu, sebahagian besar pemimpin di Sabah terus berdiam dan enggan memberikan sebarang komen mengenai spekulasi kerjasama BN dan Warisan untuk menggantikan Kerajaan Negeri yang sedang diterajui Hajiji Haji Noor.

Terdahulu, pertemuan pimpinan UMNO Sabah di pejabat parti itu pada Khamis didakwa bagi membincangkan perkembangan kerjasama dengan Warisan.

Namun, Encik Bung menafikan perkara tersebut dengan mengatakan bahawa ianya sekadar pertemuan biasa di kalangan pimpinan parti.

Pada masa sama juga, sidang media Warisan yang dijadualkan pada pukul 4.30 petang di salah sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu pada hari yang sama juga turut dibatalkan.

Namun, Encik Shafie ketika dihubungi Astro AWANI enggan mengulas mengenai pembatalan sidang media itu.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan