Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS rampas produk rambut manusia dari China; dipercayai hasil buatan buruh paksa

Para pegawai Kastam Amerika Syarikat (AS) berkata pada Rabu (1 Jul), mereka merampas produk rambut manusia dari China yang dipercayai dihasilkan oleh tahanan Islam di kem buruh di wilayah Xinjiang.

Anggaran Waktu Membaca:
AS rampas produk rambut manusia dari China; dipercayai hasil buatan buruh paksa

Salah satu produk rambut manusia yang dirampas para pegawai Kastam Amerika Syarikat. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 02 Jul 2020 10:41AM Dikemas Kini : 02 Jul 2020 10:42AM

WASHINGTON: Para pegawai Kastam Amerika Syarikat (AS) berkata pada Rabu (1 Jul), mereka merampas produk rambut manusia dari China yang dipercayai dihasilkan oleh tahanan Islam di kem buruh di wilayah Xinjiang.

Ia adalah sebahagian daripada kargo 13 tan bernilai AS$800,000 (S$1.1 juta) dari Lop County Meixin Hair Product Co. Kastam dan Kawalan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) pada 17 Jun lalu mengarahkan agar barangan berkenaan ditahan kerana dibuat oleh banduan dan buruh paksa termasuk kanak-kanak.

Penolong Pesuruhjaya Eksekutif CBP, Brenda Smith, berkata: "Pembuatan barangan itu membabitkan pencabulan hak asasi manusia yang serius".

"Penahanan produk itu bertujuan untuk menyampaikan mesej secara langsung lagi jelas kepada semua pihak yang mahu berurus niaga dengan Amerika Syarikat bahawa amalan menyalahi undang-undang dan tidak berperikemanusiaan tidak boleh diterima sama sekali," katanya.

Lop County Meixin adalah syarikat pengeksport rambut manusia, yang lazimnya diguna bagi tenunan rambut palsu dan untuk memanjangkan rambut. Ia adalah syarikat ketiga dari Xinjiang yang disenarai hitam oleh Amerika kerana menggunakan buruh paksa.

Pengumuman itu dibuat ketika Jabatan Negara Amerika, Jabatan Perdagangan, Jabatan Perbendaharaan dan Jabatan Keselamatan Negara memberi amaran kepada sektor perniagaan di Amerika supaya jangan mengimport barangan menerusi rangkaian bekalan yang melibatkan buruh paksa mahupun buruh penjara dari Xinjiang atau mana-mana tempat lain di China.

Ia juga memberi amaran kepada syarikat-syarikat supaya jangan membekalkan alat pemantauan untuk kegunaan pihak berkuasa di Xinjiang atau membantu dalam pembinaan kemudahan yang digunakan untuk menahan umat Islam dan kaum minoriti lain di wilayah itu.

Menurut Jabatan Negara Amerika, pemerintah China "terus menjalankan kempen penindasan di Xinjiang, menyasarkan etnik Uighur, Kazakh, Kyrgyz dan kumpulan minoriti Islam lain".

"Perniagaan yang bersekongkol dengan perbuatan ini wajar menyedari risikonya termasuk dari segi risiko ke atas kewibawaan syarikat, ekonomi dan tindakan guaman," menurutnya. 

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan