Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ramai penduduk Korea Selatan masih pakai pelitup pada hari pertama peraturan dimansuhkan

Anggaran Waktu Membaca:
Ramai penduduk Korea Selatan masih pakai pelitup pada hari pertama peraturan dimansuhkan

Orang ramai memakai pelitup semasa menuju keluar stesen kereta api Gwanghwamun di Seoul pada 30 Januari 2023. (Gambar: Yonhap)

SEOUL: Ramai orang yang melanggani kafe, pulang ke pejabat dan sekolah di Korea Selatan masih memakai pelitup pada Isnin (31 Jan), iaitu hari pertama peraturan memakai pelitup di tempat tertutup dimansuhkan. 

Sejak tengah malam, pemerintah menarik balik sebilangan besar peraturan memakai pelitup di tempat-tempat tertutup selepas lebih dua tahun, kecuali apabila berada di hospital, farmasi dan menaiki pengangkutan awam. 

Pemansuhan sekatan pandemik itu diumumkan selepas jumlah jangkitan harian COVID-19 terus berkurangan. 

Pada Isnin, sebanyak 7,416 kes baru dilaporkan, iaitu paras terendah dalam sekitar tujuh bulan, lapor agensi berita Yonhap. 

Sama seperti sebelum ini, kebanyakan orang di kedai memakai pelitup semasa menunggu pesanan mereka, kecuali semasa mereka sedang minum atau makan. 

Sebahagian besar penumpang juga masih memakai pelitup di kawasan-kawasan tertutup pengangkutan awam dan juga di luar hab pengangkutan awam kerana pemakaian pelitup itu sudah menjadi satu kebiasaan dan ia juga langkah perlindungan bagi mereka. 

"Agak janggal untuk menanggalkan pelitup saya," kata Chang Joon-won semasa beliau menuju keluar sebuah stesen kereta api di daerah Seocho, Seoul untuk ke tempat kerjanya. 

"Ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya." 

Kesemua 30 orang yang sedang menunggu kereta api di Stesen Dongdaemun di Seoul turut memakai pelitup. 

"Ia tidak selesa, tetapi saya akan terus memakai pelitup kerana pandemik COVID-19 belum berakhir," kata Kim Soo-ah. 

Para guru, pelajar dan kakitangan sekolah memberikan reaksi yang bercampur-campur terhadap pemansuhan peraturan memakai pelitup kerana ramai pelajar masih memakai pelitup apabila ke sekolah. 

"Tiada apa-apa yang akan berubah buat masa ini kerana kanak-kanak sudah terbiasa memakai pelitup," kata Park Soon-ae, ibu kepada dua anak perempuan, semasa beliau menemani anak-anaknya ke sekolah di daerah Dongjak di Seoul. 

Dalam tempoh 30 minit, hanya seorang pelajar yang tiba di sekolah tanpa memakai pelitup. 

Sebahagian besar kakitangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju turut memakai pelitup. 

"Kami menyarankan pemakaian pelitup, tetapi keputusan itu mengikut budi bicara para kakitangan," kata seorang pegawai lapangan terbang yang enggan mendedahkan identitinya, sambil menambah bahawa beliau sedang menantikan garis panduan mengenai peraturan di tempat-tempat seperti farmasi yang terletak di lapangan terbang. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan