Skip to main content

Dunia

Ramai pelarian di Msia alami gangguan mental

Anggaran Waktu Membaca:
Ramai pelarian di Msia alami gangguan mental

Gambar: Facebook/Refuge For Refugees

KUALA LUMPUR: Ramai pelarian di Malaysia hidup dengan pelbagai isu kesihatan mental selepas trauma yang memaksa mereka meninggalkan negara kelahiran masing-masing.

Golongan ini dianggap sebagai pendatang tanpa izin di Malaysia dan kurang mendapat peluang pekerjaan serta pendidikan.

May Thay Kyin berusia 6 tahun sahaja semasa kelurganya melarikan diri dari Myanmar.

Kini, May sudah menetap di Malaysia lebih sedekad tetapi seperti para pelarian lain, May masih merasakan dirinya sebagai tetamu tidak diundang.

"Kami tidak mesra dengan sesiapa di sini kerana kami sedar siapa diri kami. Saya fikir perasaan terasing itu antara punca kami mempunyai tekanan mental dan semestinya semasa kanak-kanak, kami dibuli. Ia menjadi perkara biasa," kata Cik May.

Cik May juga mengalami insomnia dan keresahan berhubung masa depannya sebagai seorang pelarian.

Mujur, Cik May mendapat bantuan daripada badan kebajikan, Refuge for the Refugees, yang memberi tumpuan kepada penyediaan bantuan kecemasan serta program pendidikan.

"Kerap kali para pelarian memberitahu saya bahawa mereka sukar tidur waktu malam kerana mereka tidak tahu bila pihak berkuasa akan mengetuk pintu dan menangkap mereka.

"Mereka sukar melalui rutin harian kerana gaji mereka kecil. Apatah lagi perlu membantu keluarga, membawa rezeki pulang dan menghantar anak ke sekolah. Hidup yang tidak menentu ini menyebabkan tekanan paling dahsyat," kata Heidy Quah, Pengasas Refuge for the Refugees pada Sabtu (8 Okt).

Setakat Disember 2020, sekitar 178,000 pelarian dan pencari suaka didaftarkan dengan Suruhanjaya Tinggi PBB mengenai Pelarian (UNHCR) di Malaysia.

Kajian UNHCR mendapati kejadian gangguan mental dalam golongan pelarian tersebut amat tinggi.

Sekitar 43 peratus atau kira-kira 1 daripada 2 pelarian mengalami sekurang-kurangnya satu gangguan mental.

Ini termasuk kemurungan, keresahan, gangguan tekanan postrauma dan rasa hiba yang rumit.

Inisiatif Kesihatan Ekuiti Malaysia kini merupakan antara badan bukan kerajaan yang membantu dalam sokongan psikiatrik atau psikologi kepada sekitar 350 pelarian.

Namun badan itu menyatakan lebih banyak usaha menyelaras diperlukan daripada institusi jagaan kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan serta pihak kerajaan sendiri untuk mengadakan sistem pemeriksaan dan rujukan jagaan lebih baik.

Ini agar mereka yang melarikan diri daripada keganasan dapat hidup dengan aman dan tenang.
Sumber : CNA/RU/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita