Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ramai pelajar Muslim di AS jadi mangsa buli Islamofobia

Anggaran Waktu Membaca:
Ramai pelajar Muslim di AS jadi mangsa buli Islamofobia

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 17 Apr 2022 10:09PM Dikemas Kini : 18 Apr 2022 12:58PM

HOUSTON: Pandangan dan sikap yang mengandung prasangka, ketakutan, dan kebencian terhadap Islam dan orang-orang Islam atau Islamofobia merupakan satu masalah yang masih wujud dan berleluasa di sekolah-sekolah awam di Amerika Syarikat (AS).

Demikian menurut laporan terkini oleh Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR). 

Temu bual bersama 700 pelajar Muslim di sekolah-sekolah di wilayah California mendapati berlaku masalah buli, gangguan dan diskriminasi oleh rakan-rakan dan orang dewasa, termasuk guru, atas sebab pegangan agama mereka. 

"Pelajar Muslim pelbagai umur dipulaukan dan diberi layanan buruk oleh kerana pegangan agama mereka dan tanggapan salah  yang mengaitkan mereka dengan serangan 9/11 dan aksi-aksi keganasan lain," ujar Amr Shabaik, peguam hak sivil  CAIR di California yang menjalankan kajian tersebut. 

"Selalunya, kejadian sedemikian dilihat dalam pelajar itu dibuli pelajar-pelajar lain, kurangnya langkah-langkah pencegahan dan laporan oleh pegawai sekolah dan latihan untuk  guru tentang cara  menjadi pengantara serta menangani insiden buli berbaur keagamaan dan perkauman," kata Encik Shabaik kepada Agensi Anadolu. 

Menurut laporan itu hampir separuh pelajar atau 47.1 peratus, dibuli kerana beragama Islam. Jumlah itu lebih seganda purata nasional yang dilaporkan, iaitu 20 peratus. 

"Saya sering dipanggil Osama bin Laden oleh lelaki yang selalu memberitahu saya yang saya kelihatan "Cantik Meletup" dengan menekankan perkataan meletup," kata seorang pelajar perempuan yang berusia 18 tahun dari Brentwood yang ditemu bual untuk kajian tersebut. 

Lebih setengah daripada responden, atau 55.73 peratus, berasa tidak selamat, tidak diterima atau tidak selesa di sekolah oleh kerana identiti Muslim mereka. Ini merupakan tahap yang paling tinggi dilaporkan sejak CAIR-California mula menjalankan kajian mereka pada 2013. 

Laporan itu juga mendapati sepertiga pelajar, atau 30.12 peratus, yang memakai hijab melaporkan tudung mereka pernah ditarik atau dipegang dengan cara yang menyinggung perasaan. 

"Ramai meluahkan kata-kata kesat kerana saya seorang Muslim," kata seorang wanita yang berusia 18 tahun dari Redwood. 

"Mereka mengejek saya dan mencaci Islam. Hijab saya pun pernah ditarik oleh rakan sekelas tanpa sebab." 

Selain itu, laporan tersebut mendapati bahawa hampir sepertiga pelajar mengalamai atau menyaksikan pembulian siber. 

Salah satu dapatan yang lebih membimbangkan adalah hampir suku responden, atau 23.5 peratus, melaporkan bahawa seorang guru, pentadbir atau orang dewasa lain di sekolah mereka meluahkan kata-kata kesat tentang Islam atau umat Islam. 

Profesor Zahra Jamal, Pengarah Bersekutu di Institut Boniuk bagi Toleransi Keagamaan di Universiti Rice, memberitahu Agensi Anadolu bahawa perbuatan buli dan sifat perkauman mempunyai pelbagai kesan termasuk emosi, fizikal dan juga kesan sosial. 

"Segelintir anak muda Muslim mengalami keresahan, kemurungan, sukar tidur dan keyakinan diri yang rendah, manakala ada juga rasa mereka harus pilih antara menjadi seorang rakyat Amerika atau seorang Muslim di sekolah," katanya. 

"Malangnya, 55 peratus rasa tidak selamat di sekolah kerana pegangan agama mereka, 32 peratus menyembunyikan identiti Muslim mereka, manakala 20 peratus ponteng sekolah kerana tidak rasa selamat dan tidak diterima di sekolah," tambahnya. 

Untuk mengatasi trend Islamofobia di sekolah, Profesor Zahra menekankan budaya menganggap Muslim sebagai pengganas harus berubah. 

Sumber : Bernama/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa