Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ramai masih pakai pelitup di Korea Selatan meski tidak lagi diperlukan di tempat terbuka

Anggaran Waktu Membaca:

SEOUL: Walaupun pihak berkuasa Korea Selatan sudah menarik semula arahan memakai pelitup di luar rumah mulai Isnin (2 Mei), masih ramai yang mengenakannya sebagai langkah berjaga-jaga.

Demikian dilaporkan Astro AWANI. 

Tinjauan mendapati bahawa ramai orang masih memakai pelitup, terutama sekali di daerah yang sibuk seperti Gwanghwamun, lokasi di mana terletaknya kebanyakan bangunan pemerintah dan korporat.

Selain untuk tujuan keselamatan, mereka yang masih memakai pelitup berasa janggal untuk menanggalkannya selepas mengenakan pelitup selama lebih dua tahun.

"Saya cuba untuk tidak memakai pelitup ketika keluar rumah tetapi 70 hingga 80 peratus orang yang saya temui di luar masih memakainya.

"Mungkin terlalu awal untuk menanggalkannya walaupun ketika berada di luar," kata seorang penduduk, Lee Byung-young, 61 tahun.

Sejak lebih dua tahun, pemakaian pelitup adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mengekang penularan COVID-19.

Langkah memansuhkan arahan mewajibkan pemakaian pelitup itu, dalam peralihan ke fasa seterusnya, diambil selepas jumlah kes jangkitan baru yang dicatatkan di negara itu mula berkurangan, lapor Astro AWANI. 

Menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea Selatan (KDCA), 20,084 individu dilaporkan positif COVID-19 pada Ahad (1 Mei), dengan kes jangkitan harian terus menurun berbanding lebih 620,000 pada pertengahan Mac.

Negara dengan 52 juta penduduk itu berjaya mengekang kes COVID-19 tidak melebihi 17,295,733 jangkitan dengan 22,958 kematian.

Ia dilakukan menerusi langkah pengawalan termasuk kempen pengesanan dan ujian saringan yang agresif serta vaksinasi yang meluas, menurut Astro AWANI. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan