Ramai kakitangan sektor teknologi Israel mohon pindah ke luar negara
Pemandangan umum blok pangsapuri dan bangunan pejabat dalam pembinaan, di tengah-tengah konflik berterusan antara Hamas dan Israel, di Tel Aviv, Israel, 27 Ogos 2024. (Gambar: REUTERS/Florion Goga)
Persatuan Industri Teknologi Maju Israel (IATI) mendapati 53 peratus syarikat melaporkan kenaikan pads jumlah permohonan untuk berpindah ke luar negara daripada pekerja warga Israel, sambil menarik perhatian bahawa ia merupakan satu "trend yang mungkin boleh menjejas enjin inovasi tempatan dan kepimpinan teknologi Israel."
Sektor teknologi membentuk kira-kira 20 peratus GDP Israel, 15 peratus pekerjaan di negara itu dan lebih separuh daripada eksportnya.
Terdapat beratus-ratus syarikat berbilang negara (MNC) di Israel termasuk Microsoft, Intel, Nvidia, Amazon, Meta dan Apple.
GANGGUAN RANTAIAN BEKALAN
Dalam laporan tahunannya, IATI juga menyatakan bahawa sesetengah syarikat berbilang negara (MNC) sedang mengkaji pemindahan pelaburan dan aktiviti ke negara-negara lain.
"Bagi sesetengah kes, syarikat-syarikat yang berdepan gangguan pada rantaian bekalan menemui alternatif di luar Israel semasa perang, dan jika ini terbukti berkesan, terdapat risiko aktiviti sedemikian tidak akan kembali pulih sepenuhnya," menurut laporan itu yang diterbitkan di mesyuarat yang dipimpin oleh CEO dan Presiden IATI Karin Mayer Rubinstein.
Pada masa yang sama, ia menambah, terdapat peningkatan pada permohonan untuk dipindahkan dalam kalangan eksekutif kanan dan keluarga mereka, dengan lebih ramai kakitangan memohon diberi pekerjaan di luar Israel.
Sungguhpun begitu, laporan itu menyatakan syarikat-syarikat berbilang negara (MNC)melihat ekosistem teknologi Israel dari segi jangka panjang dan banyak syarikat berkembang semasa perang.
SEKTOR TEKNOLOGI 'BUKTIKAN DAYA KETAHANANNYA'
Sekitar 57 peratus syarikat mengekalkan aktiviti perniagaan yang stabil sepanjang tempoh perang, dan 21 peratus bahkan memperluaskan operasi masing-masing di Israel, iaitu "satu perangkaan yang menunjukkan keyakinan berterusan terhadap aktiviti tempatan dan ekosistem Israel walaupun di tengah-tengah ketidakpastian," menurut IATI.
Lagi 22 peratus syarikat melaporkan aktiviti perniagaan mereka terjejas semasa perang, yang meletus pada 7 Oktober 2023, akibat serbuan Hamas di Israel dan ia tamat dua bulan lalu menyusuli perjanjian gencatan senjata yang dipimpin Amerika Syarikat.
"Walaupun semasa perang yang mencabar ini, industri teknologi maju Israel, termasuk syarikat-syarikat global yang beroperasi di Israel, sekali lagi membuktikan daya ketahanannya dan keupayaannya untuk memimpin inovasi dan kreativiti," kata Encik Rubinstein.
"Kami bekerja tanpa henti untuk memastikan Israel tetap menjadi sebuah hab yang menarik bagi aktiviti syarikat berbilang negara."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.