Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rakyat Ukraine dipaksa dapatkan pasport Rusia 'untuk hakis identiti' negara itu

Anggaran Waktu Membaca:

KYIV: Sebelum melarikan diri dari Ukraine, Cik Victoria didesak membuat permohonan bagi pasport Rusia walaupun ia bukan hasratnya kerana "saya seorang rakyat Ukraine". 

Pasukan tentera di jalanan memberi amaran, sekiranya beliau tidak mendapatkan pasport Rusia, beliau tidak akan dapat memfailkan sebarang dokumen rasmi. 

Cik Victoria turut mendengar cerita tentang pemeriksaan yang dilakukan dari rumah ke rumah yang menyebabkan orang terbabit diusir kerana tidak memegang dokumen yang dikeluarkan pihak berkuasa Rusia. 

Sejak sekian lama, Mosko secara beransur-ansur mengeluarkan pasport Rusia sebagai usaha untuk mengetatkan kawalan, serta melemahkan identiti Ukraine, menurut pakar. 

"Saya betul-betul tidak ingin berbuat demikian," kata Cik Victoria, 43 tahun, kepada AFP di Zaporizhzhia yang ditawan Ukraine.

Namun, beliau akhirnya terpaksa mendapatkan dokumen rasmi dalam bahasa Rusia apabila perlu mendaftarkan kontrak rumah dan keretanya. 

Cik Victoria mula mendapatkan penterjemahan bagi sijil kelahiran dan perkahwinannya yang berbahasa Ukraine, tetapi tidak menyelesaikan proses tersebut apabila melarikan diri dari timur Ukraine pada Januari. 

"Sekalipun saya mendapatkan pasport Rusia, saya masih seorang rakyat Ukraine. Bagi saya, tiada apa-apa yang akan berubah," katanya. 

Rusia sudah bertahun-tahun lamanya mengeluarkan pasport negara itu kepada rakyat Ukraine di kawasan timur Donbas yang dikawal pemberontak proMosko dan Crimea. 

Namun, sejak Presiden Vladimir Putin melancarkan pencerobohan di Ukraine 15 bulan lalu, pengeluaran pasport itu bertambah agresif. 

Beberapa keperluan asas seperti mendapatkan faedah pemerintah, pekerjaan dan rawatan perubatan memerlukan dokumen yang dikeluarkan Rusia, kata penduduk dan pakar kepada AFP.

Encik Putin pada April menandatangani dekri yang membenarkan rakyat Ukraine di kawasan yang diduduki diusir sekiranya mereka tidak mendapatkan pasport Rusia sebelum 1 Julai 2024. 

Mosko pada November lalu mendakwa sebanyak 80,000 pasport dikeluarkan sejak Encik Putin menawan empat wilayah Ukraine pada September.

Sumber : AFP/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan