Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rakyat Tonga lari selamatkan diri susuli letusan kuat gunung berapi

Letusan terbaru gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai berlaku selang beberapa jam selepas amaran tsunami pada Jumaat ditarik balik.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat Tonga lari selamatkan diri susuli letusan kuat gunung berapi

Peta yang menunjukkan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai yang meletus pada 14 Jan, yang menyebabkan tsunami di Tonga. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 15 Jan 2022 07:35PM Dikemas Kini : 15 Jan 2022 07:35PM

NUKU'ALOFA: Rakyat Tonga yang ketakutan lari menyelamatkan diri ke tempat lebih tinggi pada Sabtu (15 Jan) selepas letusan kuat gunung berapi - yang turut kedengaran di negara-negara jiran - mencetuskan tsunami kedua di kawasan itu sejak beberapa hari kebelakangan ini.

"Gelombang tsunami setinggi 1.2 meter dilihat di Nukualofa," tulis Biro Kaji Cuaca Australia di laman Twitternya.

Gelombang tsunami tertinggi yang dicatatkan menyusuli letusan pada Jumaat adalah 30 sentimeter.

Letusan terbaru gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai berlaku selang beberapa jam selepas amaran tsunami pada Jumaat ditarik balik.

Salah seorang penduduk, Mere Taufa berkata beliau berada di rumahnya dan sedang bersiap untuk makan malam apabila gunung berapi itu meletus.

"Letusannya sangat kuat, tanah bergegar, rumah kami bergegar. Ia berlaku silih berganti. Adik lelaki saya fikirkan bom-bom sedang meletup di sekitar kawasan berdekatan," kata beliau kepada laman berita Stuff.

tonga tsunami
(Gambar: Petikan skrin video Joeywreck di Twitter)

Rumah mereka dinaiki air beberapa minit kemudian dan beliau ternampak tembok rumah berhampiran runtuh.

"Dengan serta-merta kami tahu ia adalah tsunami. Hanya dengan melihat air deras yang memasuki rumah kami."

"Anda boleh mendengar jeritan di mana-mana, ramai orang menjerit-jerit meminta semua orang lari ke tempat lebih tinggi."

Raja Tupou VI Tonga dilaporkan sudahpun dipindahkan dari Istana Diraja di Nuku'alofa dan dibawa oleh konvoi polis ke vila yang jauh dari pantai.

Letusan awal berlaku selama sekurang-kurangnya lapan minit dan memuntahkan gas, abu dan asap yang berkepul-kepul beberapa kilometer ke udara. Para penduduk di kawasan-kawasan pantai digesa menuju ke tempat lebih tinggi.

Letusan itu sangat kuat ibarat "dentuman guruh" sehinggakan ia boleh didengar sejauh Fiji yang terletak lebih 800km dari situ, menurut para pegawai di Suva.

Di sana, para pegawai memberi amaran kepada para penduduk supaya menutup tangki-tangki air sekiranya abu berasid jatuh bertaburan ke dalamnya.

Victoria Kioa daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Tonga berkata pada Jumaat bahawa orang ramai harus "menjauhi kawasan-kawasan amaran yang merupakan kawasan pantai, batu karang dan terumbu yang rendah".

Ketua Khidmat Geologi Tonga, Taaniela Kula menggesa orang ramai supaya terus berlindung di kawasan tertutup, memakai pelitup apabila berada di luar dan menutup tangki tadahan air hujan dan sistem tadahan air hujan.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan "makluman tsunami" bagi wilayah Samoa di Amerika, dengan menyatakan terdapat ancaman pasang surut air laut dan arus kuat yang boleh membahayakan sesiapa di tepi pantai".

Amaran serupa juga dikeluarkan oleh pihak-pihak berkuasa di New Zealand dan Fiji.

Gunung Berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai terletak di pulau yang tidak didiami sekitar 65 kilometer dari ibu kota Tonga, Nuku'alofa.

Sumber : AFP/IM/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa