Skip to main content

Dunia

Rakyat tidak jaga SOP tambah beban kepada kesihatan negara, kata Sultan Johor

Rakyat tidak jaga SOP tambah beban kepada kesihatan negara, kata Sultan Johor.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat tidak jaga SOP tambah beban kepada kesihatan negara, kata Sultan Johor

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 02 May 2021 03:34PM Dikemas Kini : 02 May 2021 03:35PM

JOHOR BARU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkata sikap segelintir rakyat Malaysia yang memandang ringan mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan menganggap seolah-olah wabak COVID-19 sudah berakhir, hanya akan menambah beban kepada kemudahan penjagaan kesihatan negara.

Menzahirkan kebimbangan beliau mengenai situasi COVID-19 yang kini berada pada tahap kritikal, Sultan Ibrahim berkata jumlah kes tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dan beberapa negeri, termasuk Johor, kini menjadi negeri berisiko tinggi.

“Setiap kali apabila kita merasakan bahawa keadaan mula pulih dari penularan COVID-19, namun sebaliknya jumlah kes yang dicatatkan kembali meningkat lagi. Umpama mula menimbulkan rasa putus asa dan tiada kepedulian lagi.

“Rakyat tidak boleh mengabaikan SOP walaupun mereka telah menerima suntikan vaksin terhadap virus tersebut. Ingatlah untuk menjaga diri dan satu sama lain. Walaupun sistem penjagaan kesihatan kita diurus tadbir dengan baik, namun semuanya mempunyai batas. Jika beban yang terpaksa ditanggung menjadi keterlaluan, pasti akan membawa akibat yang tidak dapat dibayangkan,” menurut beliau.

Beliau menyatakan demikian menerusi akaun Facebook rasmi Sultan Ibrahim, hari ini (2 Mei).

Sultan Johor juga berharap agar agensi penguatkuasaan akan bertindak lebih tegas dan adil terhadap mereka yang melanggar SOP ditetapkan, sekali gus tidak boleh membiarkan keadaan menjadi tidak terkawal, seperti yang sedang berlaku di India sekarang.

“Saya juga berharap kerajaan negeri akan mengambil keputusan yang bijaksana dan bertindak demi kepentingan rakyat. Saya menggesa rakyat Johor agar segera mendaftar untuk menerima suntikan vaksin. Percayalah kepada pakar kesihatan yang sahih, bukan khabar angin,” nasihat Sultan Ibrahim.

Sebagai Sultan Johor, beliau menjelaskan beliau amat mengambil berat akan kebajikan dan keselamatan rakyat Johor dan tidak mahu lagi mendengar kisah sedih keluarga yang kehilangan ahli mereka yang tersayang akibat wabak itu.

“Sekiranya perintah kawalan pergerakan yang ketat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa, biarlah ia dilaksanakan buat kali terakhir tetapi berkesan, dengan memastikan orang ramai juga memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan peraturan yang dikuatkuasakan.

“Pengorbanan mesti dibuat untuk kebaikan semua. Jangan kita menyesal kemudian hari, tiada gunanya,” ujar beliau.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita