Skip to main content

Dunia

Rakyat Thailand keluar mengundi untuk pilih ahli parlimen baharu

Rakyat Thailand keluar ke pusat mengundi di seluruh negara pada Ahad (8 Feb) bagi memilih 500 Ahli Dewan Perwakilan dan mengundi satu referendum untuk mengukur sokongan orang awam terhadap penggubalan sebuah perlembagaan baharu.
Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat Thailand keluar mengundi untuk pilih ahli parlimen baharu
Para petugas pilihan raya kelihatan melakukan persiapan di sebuah stesen mengundi di Bangkok. (Gambar: REUTERS)
BANGKOK: Rakyat Thailand keluar ke pusat mengundi di seluruh negara pada Ahad (8 Feb) bagi memilih 500 Ahli Dewan Perwakilan dan mengundi satu referendum untuk mengukur sokongan orang awam terhadap penggubalan sebuah perlembagaan baharu.

Pilihan raya kali ini merupakan yang ke-28 buat Thailand sejak sistem raja berperlembagaan diamalkan pada 1932, yang mencerminkan sejarah demokrasi berparlimen selama 94 tahun di negara itu.

Pusat mengundi di seluruh negara dibuka mulai pukul 8.00 pagi dan akan ditutup pada pukul 5.00 petang waktu tempatan, dengan anggaran 52.9 juta pemilih layak mengundi.

Daripada 500 kerusi Dewan Perwakilan yang dipertandingkan, sebanyak 400 kerusi dipilih mengikut kawasan pilihan raya ahli tunggal melalui sistem pemenang undi terbanyak, manakala baki 100 kerusi diperuntukkan kepada parti-parti berdasarkan sistem perwakilan berkadar.

Para pengundi akan diberikan tiga kertas undi - kertas hijau untuk ahli Parlimen (MP) kawasan, kertas merah jambu untuk MP senarai parti, dan kertas kuning untuk referendum perlembagaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) menjangkakan peratusan keluar mengundi yang memberangsangkan menyusuli proses pengundian awal pada Ahad lalu, terutamanya di Bangkok yang menyaksikan kira-kira 87 peratus pengundi berdaftar dilaporkan sudah menunaikan tanggungjawab mereka.

Bangkok mempunyai bilangan kawasan pilihan raya terbesar dengan 33 kerusi berdasarkan populasinya yang berjumlah kira-kira 5.4 juta, diikuti oleh Nakhon Ratchasima dengan 16 kerusi.

Sebanyak 57 parti politik bertanding dalam pilihan raya ini dengan meletakkan 5,096 calon di seluruh negara, manakala 93 individu daripada 43 parti dicalonkan sebagai calon perdana menteri.

Pilihan raya awal ini diadakan selepas Anutin Charnvirakul, Perdana Menteri ketiga Thailand sejak pilihan raya 2023, membubarkan dewan rendah parlimen pada 12 Disember 2025 berikutan ancaman undi tidak percaya.

Para pemerhati menjangkakan persaingan ini akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Parti Bhumjaithai pimpinan Encik Anutin, pembangkang progresif yang diterajui Parti Rakyat, dan Parti Pheu Thai yang dikaitkan dengan mantan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita