Rakyat Syria undi parlimen baru di tengah-tengah perang, pergolakan ekonomi
Rakyat Syria keluar mengundi pada Ahad (19 Jul) untuk memilih parlimen baru sedang pemerintah Damsyik bergelut dengan sekatan antarabangsa dan krisis ekonomi setelah menguasai semula sebahagian besar daripada negara dilanda perang itu.
(Gambar: AFP)
DAMSYIK: Rakyat Syria keluar mengundi pada Ahad (19 Jul) untuk memilih parlimen baru sedang pemerintah Damsyik bergelut dengan sekatan antarabangsa dan krisis ekonomi setelah menguasai semula sebahagian besar daripada negara dilanda perang itu.
Lebih 7,400 pusat undian dibuka di bahagian yang dikuasai pemerintah di Syria, termasuk buat julung-julung kalinya di kubu kuat bekas pembangkang, menurut suruhanjaya pilihan raya.
Parti Ba'ath pimpinan Presiden Bashar al-Assad dan sekutunya dijangka memenangi kebanyakan daripada 250 kerusi parlimen dalam pilihan raya ketiga diadakan sejak perang bermula sembilan tahun lalu.
Pada malam sebelum undian, seorang penduduk terbunuh dan seorang lagi cedera dalam dua letupan di Damsyik, lapor agensi berita rasmi SANA.
Beberapa senarai calon dibenarkan untuk bertanding di merata negara tetapi tiada pembangkang dijangkakan, dan parti Baath yang berkuasa dijangka mempertahankan kuasanya.
Jutaan warga Syria yang tinggal di luar negara, setelah melarikan diri dari perang yang mengorbankan lebih 380,000 orang, tidak layak mengundi.
Selepas kemenangan demi kemenangan oleh pihak tentera yang disokong oleh sekutu utama Rusia, pemerintah kembali menguasai sekitar 70 peratus negara itu, menurut Badan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Pada pilihan raya terakhir pada 2016, jumlah warga yang keluar mengundi adalah 57 peratus.
KRISIS KEBULURAN
Pilihan raya tahun ini diadakan sedang Damsyik berusaha untuk memulihkan ekonominya yang hancur akibat peperangan selama sembilan tahun, sekatan Barat dan kesan krisis kewangan di negara jiran Lubnan.
Harga makanan di Syria menjulang lebih 200 peratus pada tahun lalu dan kini 20 kali ganda tahap sebelum perang, kata Program Makanan Sedunia.
Di sebuah negara di mana lebih 80 peratus rakyatnya hidup dalam kemiskinan, agensi makanan PBB itu memberi amaran bahawa rakyat Syria kini menghadapi "krisis kebuluran yang belum pernah terjadi sebelum ini".
Pilihan raya juga diadakan sedang Encik Assad menandakan genap dua dekad berkuasa bulan ini, dan beberapa minggu setelah Amerika Syarikat mengenakan sekatan baru ke atas Syria termasuk ke atas isteri presiden itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.