Skip to main content

Dunia

Rakyat Syria pulang ke pangkuan keluarga sambut Aidilfitri selepas rejim Assad tumbang

Sambutan Aidilfitri tahun ini membawa makna yang amat simbolik bagi rakyat Syria, beberapa bulan selepas kejatuhan rejim mantan Presiden Bashar al-Assad, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat Syria pulang ke pangkuan keluarga sambut Aidilfitri selepas rejim Assad tumbang

Tangkapan skrin video yang menunjukkan suasana meriah di Syria, sedang rakyat menyambut ketibaan Aidilfitri. (Gambar: YouTube/France 24 English)

Diterbitkan : 31 Mar 2025 11:32PM
  • Buat kali pertama dalam lebih 14 tahun, keluarga yang sudah lama terpisah akibat perang bersatu kembali untuk meraikan berakhirnya bulan suci Ramadan di tanah air mereka selepas bertahun-tahun menjadi pelarian dan hidup dalam buangan.
  • Menjelang sambutan Aidilfitri, suasana di Pasar Midan yang sibuk di Damsyik, terkenal dengan manisan tradisionalnya, dipenuhi kegembiraan.
  • Mantan Presiden Al-Assad memerintah Syria selama lebih dua dekad, namun cengkaman kuasanya runtuh pada Disember lalu selepas serangan pantas oleh kumpulan Hayat Tahrir al-Sham, yang kini dipimpin Presiden al-Sharaa.
  • Bagi ramai rakyat Syria yang kembali, Aidilfitri kali ini bukan sekadar satu kepulangan – ia menandakan permulaan era baharu bagi negara mereka.
Dijana oleh AI
DAMSYIK: Sambutan Aidilfitri tahun ini membawa makna yang amat simbolik bagi rakyat Syria, beberapa bulan selepas kejatuhan rejim mantan Presiden Bashar al-Assad, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Buat kali pertama dalam lebih 14 tahun, keluarga yang sudah lama terpisah akibat perang bersatu kembali untuk meraikan berakhirnya bulan suci Ramadan di tanah air mereka selepas bertahun-tahun menjadi pelarian dan hidup dalam buangan.

Pihak berkuasa Syria mengumumkan bahawa Isnin (31 Mac) menandakan permulaan Aidilfitri selama tiga hari di negara itu, yang disambut dengan solat berjemaah, memberi hadiah dan menjamu selera.

Ramai rakyat Syria yang melarikan diri ke luar negara sudah kembali untuk meraikan perayaan itu bersama orang tersayang.

Antaranya termasuk Encik Khaled Imam, yang meninggalkan kediamannya di Daraya, selatan Damsyik pada Ogos 2016 bersama isteri dan tiga anaknya.

“Saya meninggalkan Daraya selepas perjanjian dengan rejim al-Assad supaya pejuang berundur, tetapi saya sentiasa yakin bahawa semua yang pergi akhirnya akan kembali,” katanya.

Kini, buat pertama kalinya dalam tempoh bertahun-tahun, beliau dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarganya di sebuah bandar yang pernah menyaksikan pertempuran paling sengit dalam peperangan itu.

Bagi ramai rakyat Syria, kepulangan bukan satu keputusan mudah.

Golongan lelaki muda yang melarikan diri daripada kerahan tentera atau penganiayaan pasukan keselamatan menghadapi cabaran khusus.

Encik Hemam Ali, yang melarikan diri ke Jordan dan kemudian ke Eropah, menghabiskan lebih sedekad dengan hubungan terhad bersama keluarganya kerana bimbang dipantau pihak berkuasa.

Kata Encik Hemam Ali: “Saya kembali ke Syria pada 21 Mac untuk menyambut Hari Ibu. Saya akan tinggal sehingga 10 hari bulan depan. Ini adalah hari-hari paling bahagia dalam hidup saya kerana dapat bersama ibu selepas lebih 11 tahun dan meraikan Aidilfitri dengan adik-beradik serta sanak saudara."

“Tuhan telah memberkati kami dengan pembebasan Syria,” katanya.

Menjelang sambutan Aidilfitri, suasana di Pasar Midan yang sibuk di Damsyik, terkenal dengan manisan tradisionalnya, dipenuhi kegembiraan. Kedai-kedai sesak dengan rakyat Syria yang pulang, merasai kembali kehidupan normal yang sekian lama dinanti-nantikan.

Encik Ahmad Dalali, yang membawa beg berisi juadah Aidilfitri, mengesat air mata ketika bercakap. Buat julung kali sejak 2011, dia dapat menjalani ibadah puasa dan kini meraikan Aidilfitri bersama keluarga.

Sebelum ini, Encik Ahmad Dalali melarikan diri ke Lubnan pada akhir 2011 selepas pasukan keselamatan menyerbu rumah keluarganya di Wadi Barada, barat laut Damsyik.

Hatinya kini bercampur baur dengan rasa lega, kemenangan dan kerinduan terhadap masa yang hilang sekembalinya ke tanah air.

“Saya meninggalkan Syria ketika berusia 26 tahun, masih seorang pelajar universiti. Sekarang saya 40 tahun. Perang telah meragut masa muda saya,” katanya dengan nada sayu.

“Tetapi akhirnya saya melangkah ke hadapan. Saya sedang membuat persiapan untuk majlis perkahwinan saya pada hari kedua Aidilfitri. Sewaktu meninggalkan Syria, saya bersumpah tidak akan bernikah sehingga rejim al-Assad lenyap.”

Sementara itu, buat pertama kali dalam sejarah Syria, dewan utama Istana Presiden di Damsyik menjadi lokasi bagi solat sunat Aidilfitri.

Ratusan rakyat Syria menunaikan solat di Istana Presiden pada Isnin yang dipimpin Presiden sementara Syria, Ahmed al-Sharaa. Para menteri dan pemimpin tentera turut menghadirkan diri.

Kebanyakan dataran awam di bandar dan pekan seluruh Syria turut menyaksikan solat sunat Aidilfitri berjemaah, dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.

Mantan Presiden Al-Assad memerintah Syria selama lebih dua dekad, namun cengkaman kuasanya runtuh pada Disember lalu selepas serangan pantas oleh kumpulan Hayat Tahrir al-Sham, yang kini dipimpin Presiden al-Sharaa. Encik Assad melarikan diri ke Rusia, meninggalkan Syria di satu persimpangan.

Bagi ramai rakyat Syria yang kembali, Aidilfitri kali ini bukan sekadar satu kepulangan – ia menandakan permulaan era baharu bagi negara mereka.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita