Rakyat Sri Lanka undi presiden baru
Rakyat Sri Lanka membanjiri pusat pengundian awal hari ini (16 Nov) untuk memilih presiden baru bagi negara yang masih bergelut untuk pulih daripada serangan ke atas hotel dan gereja pada Hari Easter April lalu.
Orang ramai yang dalam kalangan 16 juta penduduk layak mengundi beratur panjang di luar pusat mengundi di Colombo, Sri Lanka. (Gambar: REUTERS)
COLOMBO: Rakyat Sri Lanka membanjiri pusat pengundian awal hari ini (16 Nov) untuk memilih presiden baru bagi negara yang masih bergelut untuk pulih daripada serangan ke atas hotel dan gereja pada Hari Easter April lalu. Insiden tersebut menjejas teruk ekonomi negara yang sangat bergantung kepada pelancongan.
Bekas Setiausaha Pertahanan, Gotabaya Rajapaksa, yang memantau kejayaan tentera menewaskan pengganas Tamil 10 tahun lalu, dan menteri pemerintah, Sajith Premadasa, terikat dalam persaingan sengit. Demikian menurut ahli politik dan penganalisis.
Encik Rajapaksa berikrar untuk memulihkan keselamatan negara, mengambil kesempatan atas ketakutan penduduk Buddha negara itu menyusuli serangan didakwa dilancarkan kumpulan ISIS yang meragut lebih 250 jiwa.
Sementara itu, Encik Premadasa pula berikrar untuk menyediakan rumah dan seragam sekolah serta tuala wanita percuma. Beliau juga menyentuh topik yang jarang dibincangkan secara terbuka di negara itu namun berjaya menarik wanita menghadiri kempennya.
Polis menyatakan sekumpulan lelaki tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah bas membawa pengundi Islam ke pusat pengundian di Anuradhapura di tengah Sri Lanka. Tiada kecederaan dilaporkan tetapi saksi berkata tayar kenderaan terbakar.
Di pusat pengundian di Colombo, M Gunasekera, seorang suri rumah berusia 41 tahun, berkata masalah paling penting adalah rasuah yang berleluasa dan kekurangan ahli politik bertanggungjawab.
Kira-kira 16 juta penduduk layak mengundi, dengan proses itu membolehkan pengundi memilih sehingga tiga calon.
Undian akan dikira sejurus selepas pusat pengundian ditutup tetapi keputusan tidak dijangka diketahui sebelum Ahad (17 Nov).
Penduduk Islam yang merangkumi hampir 10 peratus daripada 22 juta rakyat negara itu, berkata mereka dimusuhi sejak serangan April lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.