Skip to main content

Dunia

Rakyat Sri Lanka 'raikan' kemenangan; serbu masuk dan berpesta di kediaman Presiden

Anggaran Waktu Membaca:
COLOMBO: Berbulan-bulan menuntut presiden berundur, penunjuk perasaan di Sri Lanka 'meraikan' kemenangan mereka dengan bersuka ria, mengambil foto dan berenang di Istana Presiden selepas berjaya menceroboh masuk.

Istana Presiden Sri Lanka di Colombo 'diserang' oleh ratusan orang awam pada Sabtu (9 Jul) dalam rusuhan terbaru untuk menunjukkan kemarahan dan ketidakpuasan mereka selepas berbulan-bulan negara itu mengalami krisis yang melumpuhkan ekonomi mereka.

Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa dilaporkan melarikan diri sebelum kumpulan perusuh tersebut memecah masuk ke dalam Istana Presiden. Beliau dibantu oleh tentera yang melepaskan tembakan ke udara untuk membebaskannya.

Suasana di pekarangan kediaman itu meriah, ketika orang ramai dilihat cuba melupakan seketika kekecewaan akibat krisis makanan dan bahan api yang berpanjangan serta konfrontasi tegang dengan pasukan keselamatan pada hari sebelumnya.

"Kami berada di kamar Gotabaya, ini pakaian dalam yang ditinggalkannya," kata seorang lelaki sambil memegang celana hitam di video secara langsung yang turut disiarkan di beberapa saluran media sosial.

Di halaman kompleks kediaman itu, sekumpulan lelaki menanggalkan baju mereka dan melompat ke dalam kolam renang. Ratusan yang lain duduk berehat di halaman berumput selepas konfrontasi dengan pihak berkuasa pada pagi itu.

Pasukan keselamatan Sri Lanka terdahulu melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah para penunjuk perasaan.

Orang ramai berjaya masuk ke dalam pekarangan tersebut selepas merobohkan penghadang dan memanjat pintu pagar menggunakan trak polis yang dirampas.

Para pegawai polis elit yang ditempatkan di dalam kediaman itu juga tidak berusaha untuk menghalau penceroboh yang terlalu ramai.

Beberapa orang dilihat bergilir-gilir duduk di atas katil bersaiz 'king' milik Rajapaksa dan sofanya yang selesa. Penunjuk perasaan juga menjamu selera di dapur presiden, dengan makanan dan minuman ringan kelihatan berselerak di atas meja.

Istana Presiden sebelum ini merupakan kediaman rasmi gabenor British sebelum menjadi kediaman Presiden Sri Lanka selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1948.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita