Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rakyat SG disyaki dalang sindiket penyeludupan; elak bayar cukai RM3.5 bilion

Anggaran Waktu Membaca:
PETALING JAYA: Warga Singapura yang disyaki dalang sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang yang mengakibatkan ketirisan cukai dianggarkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion (S$1 bilion), berjaya ditahan semalam.

Suspek berusia 40 tahun itu ditahan ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya, kira-kira 5.00 petang pada Isnin (25 Jun).

Menyusuli penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapat perintah reman selama enam hari sehingga 30 Jun ini yang dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Menurut sumber, suspek disyaki menyogok pegawai penguat kuasa sebagai upah bagi membantu melepaskan barang-barang diimport syarikat-syarikat miliknya daripada dikenakan bayaran cukai.

“Dia disyaki melakukan perbuatan itu antara tahun 2022 hingga 2024. Siasatan awal mendapati wang suapan itu diberikan secara tunai kepada kesemua pegawai penguat kuasa.

“Sehingga kini dipercayai seramai 11 pegawai penguat kuasa yang terlibat,” katanya, lapor agensi berita Free Malaysia Today.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu untuk siasatan mengikut Seksyen 16(a) dan 17(a) Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya mengesan lebih 100 syarikat disyaki terbabit sindiket itu yang menyogok pegawai penguat kuasa bagi melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui perisytiharan serta pemeriksaan di pintu masuk negara.

Menurutnya, syarikat berkenaan berperanan selaku ‘forwarding agent’ sebagai orang tengah bagi pembayaran habuan kepada pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), lapor Free Malaysia Today.

SPRM sudah menahan 34 pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi Op Samba 2.0 dan 11 pegawai di Pelabuhan Klang, Selangor yang ditahan menerusi operasi khas baru-baru ini.

Menurut laporan Free Malaysia Today, hasil siasatan setakat ini, SPRM berjaya merampas wang tunai sejumlah RM4.4 juta (S$1.3 juta) dipercayai diperoleh secara rasuah oleh pegawai-pegawai kastam terbabit.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan