Rakyat SG cedera di kawasan berbatu Gunung Datuk
(Gambar: BERNAMA)
SEREMBAN: Seorang lelaki warga Singapura cedera selepas dipercayai terjatuh di kawasan berbatu semasa turun Gunung Datuk, Rembau, di Seremban pada Sabtu (31 Mei).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Pegawai Bomba Tinggi II Asnizam Kamberon berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden yang menimpa mangsa berusia 52 tahun itu pada pukul 10.29 pagi.
“Mangsa antara 11 orang yang menyertai aktiviti pendakian ke puncak Gunung Datuk dengan diiringi dua Malim Gunung Perhutanan Negeri Sembilan.
“Beliau dipercayai terjatuh di kawasan berbatu berhampiran tangga puncak ketika menuruni gunung berkenaan dan mengalami kecederaan patah pada tangan kanan,” katanya kepada Bernama.
Encik Asnizam berkata Pasukan Keluaran Operasi kemudian mendaki ke lokasi mangsa berada, iaitu kira-kira dua kilometer dari kaki gunung, dan membawanya turun menggunakan pengusung.
Beliau berkata mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan bagi tindakan selanjutnya, dan operasi melibatkan lima anggota itu tamat pada pukul 2.28 petang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.