Skip to main content

Dunia

Rakyat S'pura hilang: M'sia kecilkan kawasan pencarian susuli maklumat penemuan mayat

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga Singapura Tan Eng Soon yang hilang ketika berkayak di perairan Mersing, kini tertumpu di perairan Kemaman hingga perairan Merchang di Marang menyusuli maklumat penemuan satu mayat yang masih memakai jaket keselamatan di Perairan Dungun.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat S'pura hilang: M'sia kecilkan kawasan pencarian susuli maklumat penemuan mayat

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga Singapura Tan Eng Soon kini tertumpu di perairan Kemaman hingga perairan Merchang. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 17 Aug 2019 08:20AM Dikemas Kini : 17 Aug 2019 08:22AM

CHUKAI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga Singapura Tan Eng Soon yang hilang ketika berkayak di perairan Mersing, kini tertumpu di perairan Kemaman hingga perairan Merchang di Marang menyusuli maklumat penemuan satu mayat yang masih memakai jaket keselamatan di Perairan Dungun oleh nelayan tempatan petang Khamis (15 Ogos). 

Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut awal pagi Jumaat (16 Ogos) melalui kumpulan WhatsApp nelayan tempatan di perairan berkenaan, iaitu kira-kira 40 batu nautika dari kawasan pencarian. 

“Bagaimanapun, dukacitanya mayat tersebut tidak diikat atau diletak petanda. Buat masa sekarang kita gunakan maklumat ini untuk kita lebih fokus atau mengecilkan kawasan pencarian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jeti Zon Maritim Kemaman.

Encik Tan, 62 dan seorang lagi rakyat Singapura, Cik Puah Geok Tin, 57, dilaporkan hilang pada 8 Ogos lepas selepas kayak yang dinaiki mereka terpisah dengan 13 lagi rakan di antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing berikutan laut bergelora dan angin kuat. 

Bagaimanapun, pada Rabu, mayat Cik Puah ditemui di perairan Kuala Kemaman dan menyusuli penemuan itu, Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) diwujudkan di pejabat Zon Maritim Kemaman, sejak Khamis.

“Pencarian hari ini melibatkan enam buah bot iaitu empat bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia masing-masing sebuah bot.

“Walaupun cuaca pada hari ini lebih elok berbanding semalam, namun keadaan berjerebu menghadkan penggunaan aset kita. Sebab itu pencarian lebih tertumpu dengan penggunaan aset laut sahaja,” katanya yang memberi taklimat terkini operasi pencarian warga Singapura itu yang memasuki hari ke lapan semalam.

Beliau berkata operasi mencari hari ini akan diluaskan ke arah utara sehingga ke Kuala Terengganu memandangkan terdapat kemungkinan mangsa dihanyutkan oleh arus laut yang kuat.

Sementara itu, anak sulung Encik Tan, Cik Liane Tan, 30, yang tiba tengah hari semalam berharap lebih banyak petunjuk diperolehi bagi memudahkan operasi pencarian bapanya.

“Melalui sokongan nelayan tempatan, kami berharap akan mendapat lebih banyak petunjuk. Itulah yang kami harapkan sekarang,” katanya yang ditemui di Jeti Zon Maritim Kemaman.

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita