Rakyat S'pura digesa tinggalkan Myanmar selagi masih boleh
Rakyat Singapura yang sedang menetap di Myanmar harus meninggalkan negara itu secepat mungkin selagi masih boleh berbuat sedemikian, menurut Kedutaan Singapura di Yangon.
SINGAPURA: Rakyat Singapura yang sedang menetap di Myanmar harus meninggalkan negara itu secepat mungkin selagi masih boleh berbuat sedemikian, menurut Kedutaan Singapura di Yangon.
Dalam satu kiriman emel pada Khamis (15 Jul), kedutaan itu merujuk kepada keadaan keselamatan dan COVID-19 yang semakin genting di Myanmar sambil menggesa semua rakyat Singapura untuk "meninggalkan negara itu secepat mungkin menerusi pesawat-pesawat bantuan".
"Kedutaan tidak boleh menjamin pesawat-pesawat bantuan boleh terus beroperasi sekerap sekarang ini mahupun sama ada para pelawat boleh meninggalkan negara itu dengan mudah mengikut tarikh perjalanan yang mereka mahu," tambah kedutaan tersebut.
"Kedutaan mungkin tidak akan berada dalam situasi di mana ia boleh mengaturkan sebarang pesawat khusus untuk membawa pulang rakyat Singapura pada tarikh-tarikh lain kelak."
SITUASI KESELAMATAN
Merumuskan situasi keselamatan di Myanmar, kedutaan itu menyatakan bahawa pemerintahan tentera sudahpun diisytiharkan pada 15 Mac ke atas enam bandar di Rantau Yangon: Hlaing Thayar, Shwepyithar, North Dagon, South Dagon, Dagon Seikkan dan North Okkalapa.
Kesemua jenis kuasa dan undang-undang awam seperti polis, Pejabat Tadbir Urus Umum serta pihak berkuasa tempatan kini digantung dan tentera memiliki kuasa mutlak ke atas kawasan itu.
Memandangkan keadaan tidak menentu, kedutaan memberi beberapa nasihat kepada rakyat Singapura. Ini termasuk:
- Bertenang dan kekal dalam rumah sebaik mungkin; elak berkumpul agar tidak disalah anggap sebagai mengadakan tunjuk-tunjuk perasaan
- Patuhi perintah berkurung yang dikuatkuasakan di kawasan anda. Buat masa ini, perintah berkurung yang dilaksanakan di Yangon adalah antara 10.00 malam dengan 4.00 pagi. Namun, memandangkan keadaan tidak menentu pelaksanaan perintah berkurung di Yangon, rakyat Singapura, terutamanya mereka yang berada di bandar-bandar di bawah pemerintahan tentera, dinasihatkan agar tidak keluar rumah selepas pukul 8.00 malam.
- kuti laporan media tempatan dan patuhi arahan pihak berkuasa tempatan. Situasi terus berubah-ubah dan peraturan baru mungkin diumumkan secara tiba-tiba sahaja dengan sedikit atau tiada pemberitahuan.
Kedutaan itu juga menggalak rakyat Singapura untuk melakukan e-pendaftaran bersama Kementerian Ehwal Luar (MFA) di https://eregister.mfa.gov.sg supaya kementerian itu boleh menghubungi mereka sekiranya perlu.
SITUASI COVID-19
Kedutaan itu menyatakan bahawa situasi COVID-19 di Myanmar kini "amat teruk" dengan varian-varian yang amat mudah dijangkiti menular di Myanmar dan membawa "kesan besar" di Yangon.
"Sistem jagaan kesihatan sudahpun mencapai kapasiti penuh dan giliran untuk menunggu dimasukkan (ke hospital) amat panjang," menurut kedutaan itu.
"Buat masa ini, tiada katil ICU atau COVID-19 yang kosong di hospital awam mahupun swasta di Yangon selain ubat-ubatan asas dan bekalan oksigen yang amat kekurangan di pasaran."
Oleh itu, MFA menasihatkan rakyat Singapura yang mempunyai masalah kesihatan untuk menimbangkan dengan serius meninggalkan negara itu secepat mungkin.
PESAWAT BANTUAN
Rakyat Singapura yang merancang untuk menaiki pesawat bantuan harus menghubungi syarikat penerbangan atau ejen-ejen yang dilantik secara langsung kerana permintaan bagi tiket penerbangan terus tinggi, dedah kedutaan itu.
Ia menyatakan Jabatan Penerbangan Awam Myanmar (DCA) memerlukan kesemua syarikat penerbangan untuk mendapatkan kelulusan bagi senarai penumpangnya - tidak kira warga Myanmar ataupun pelawat asing - dengan pihak berkuasa Myanmar sekurang-kurangnya lima hari sebelum penerbangan.
Oleh itu, semua penumpang yang mahu berangkat ke Singapura termasuk rakyat Singapura harus membeli tiket lebih lima hari sebelum tarikh penerbangan mereka.
Jadual penerbangan dan maklumat syarikat-syarikat penerbangan adalah seperti berikut:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.