Rakyat S'pura di Jakarta digesa ikuti laporan media tempatan bagi perkembangan terkini
Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) menasihati rakyat Singapura yang berada di Jakarta supaya memantau media Indonesia dengan teliti untuk mendapatkan perkembangan terkini, seperti penutupan jalan raya dan lencongan jalan.
(Gambar: Reuters)
SINGAPURA: Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) menasihati rakyat Singapura yang berada di Jakarta supaya memantau media Indonesia dengan teliti untuk mendapatkan perkembangan terkini, seperti penutupan jalan raya dan lencongan jalan.
Media tempatan melaporkan satu acara berskala besar yang mungkin diadakan berdekatan dengan Masjid Istiql dan Monumen Nasional sekitar sebelah tengah hari pada Jumaat (19 Apr) dipindahkan ke lokasi lain di Jalan Kertanegara 4 di Kebayoran Baru, Jakarta Selatan. Demikian menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) melalui notis konsular yang dikeluarkan pada Khamis.
Para penyokong calon presiden Prabowo Subianto merancang untuk berhimpun di Monumen Nasional selepas solat Jumaat di Masjid Istiqlal. Kediaman Encik Prabowo terletak di Jalan Kertanegara 4 di Kebayoran Baru.
Rancangan para penyokong Encik Prabowo itu diumumkan selepas kedua-dua calon presiden itu mendakwa meraih kemenangan dalam pilihan raya yang diadakan baru-baru ini.
Menurut laporan-laporan media, jurucakap pasukan kempen pilihan raya Encik Prabowo dipetik sebagai berkata bahawa perhimpunan itu adalah bagi meraikan pilihan raya yang aman, tetapi sesetengah mesej yang tular di media sosial menyifatkannya sebagai "satu sambutan kemenangan".
Seorang lagi calon, Encik Joko Widodo, sungguhpun menarik perhatian kepada kelebihan undi yang diperolehinya berdasarkan kiraan awal kumpulan-kumpulan bebas, menggesa para penyokongnya supaya menunggu keputusan rasmi.
Sementara itu, MFA Singapura menggalak rakyat Singapura yang berada di Jakarta supaya mendaftar secara online dengan kementerian berkenaan di https://eregister.mfa.gov.sg/.
Rakyat Singapura yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Singapura di Jakarta di +62 811 863 348 atau Pejabat Petugas Kementerian Ehwal Luar di +65 6379 8800 atau +65 6379 8855.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.