Rakyat S'pura antara 5 orang yang disaman di Johor kerana merokok di kedai makan
Sekurang-kurangnya lima orang, termasuk seorang rakyat Singapura dikenakan denda kerana merokok di tempat makan di kawasan Larkin di Johor Bahru pada Rabu (1 Jan), sedang larangan merokok dikuatkuasakan di seluruh Malaysia.
(Gambar: Jabatan Kesihatan Johor)
JOHOR BAHRU: Sekurang-kurangnya lima orang, termasuk seorang rakyat Singapura dikenakan denda kerana merokok di tempat makan di kawasan Larkin di Johor Bahru pada Rabu (1 Jan), sedang larangan merokok dikuatkuasakan di seluruh Malaysia.
Larangan itu dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan bagi melindungi orang awam daripada terdedah kepada asap rokok. Larangan tersebut merangkumi semua tempat makan termasuk restoran dan gerai-gerai makanan yang terletak di dalam dan luar bangunan.
Para pegawai kesihatan menjalankan operasi penguatkuasaan di seluruh Malaysia untuk menyaman para perokok yang tidak mematuhi undang-undang itu.
Di Johor, seramai 150 pegawai eseluruhan daripada Jabatan Kesihatan Negeri dikerahkan antara pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah malam pada Rabu.
Ketua Pegawai Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kayrul Hidayah Mansor memberitahu Mediacorp pada pagi Rabu bahawa lima individu - seorang rakyat Singapura, dua orang warga Mesir dan dua rakyat Malaysia ditangkap sama ada merokok atau menghisap vape.
"Para pelancong itu mendakwa bahawa mereka tidak mengetahui tentang larangan merokok yang dikuatkuasakan itu, tetapi mereka menerima saman yang dikeluarkan setelah kami menjelaskan undang-undang baru itu kepada mereka," katanya.
"Kami terpaksa mengenakan saman terhadap para perokok yang melanggar undang-undang meskipun terdapat papan tanda larangan merokok yang dipasang di seluruh negeri," tambahnya.
Saman yang dikenakan membawa denda bernilai RM250 (S$82). Jumlah itu akan dikurangkan kepada RM150 (S$49) jika bayaran dibuat di mana-mana pejabat kesihatan daerah dalam tempoh sebulan.
Pesalah berulang tidak akan dikurangkan denda yang dikenakan, manakala denda akan dinaikkan kepada RM350 (S$115) bagi mereka yang didapati mengulangi kesalahan itu sebanyak tiga kali dan ke atas.
Cik Kayrul Hidayah mengatakan bahawa pegawai kesihatan Johor sudah diarahkan untuk terus memantau bagi memastikan larangan itu dikuatkuasakan dengan berkesan.
KEDAI-KEDAI MAKAN DI JOHOR PATUH UNDANG-UNDANG ANTI-MEROKOK BARU
Sementara itu, papan tanda "dilarang merokok" dipasang di beberapa kedai makan di Johor Bahru yang dikunjungi Mediacorp, dengan tiada tempat abuk rokok diletakkan di atas meja.
Di Restoran B Point Johor Bahru, kedai makan yang popular dalam kalangan pengunjung di Pusat Pemeriksaan dan Imigresen Malaysia di Woodlands Causeway, papan tanda "dilarang merokok" juga sudah dipasang.
Pengurus restoran Safuwan Ashraf memberitahu Mediacorp bahawa para pekerja sudah diarahkan supaya meminta para pelanggan yang ingin merokok untuk meninggalkan restoran itu.
Orang ramai dibenarkan merokok sekurang-kurangnya tiga meter dari semua tempat makan.
"Kami sudah menguatkuasakan peraturan ini dalam tempoh enam bulan sebelum ini.
"Saya rasa ia sebenarnya baik untuk perniagaan kerana kebanyakan pelanggan kami tidak menghisap rokok, dan mereka lebih mungkin duduk di kedai kami lebih lama jika restoran ini tidak berbau asap rokok sepanjang masa," kata Encik Safuwan yang menguruskan restoran itu pada sebelah malam.
Di kawasan lain di Malaysia, saman turut dikeluarkan di Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kelantan pada Selasa, menurut Bernama.
Sesiapa yang didapati merokok dalam kawasan larangan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 (S$3,292) atau penjara hingga dua tahun.
Selain itu, para pemilik perusahaan makanan yang gagal mempamerkan papan tanda dilarang merokok boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 (S$987) atau penjara hingga enam bulan.
Bagi kesalahan menyediakan tempat merokok, mereka boleh didenda hingga RM5,000 (S$1,646) atau dipenjara hingga setahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.