Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rakyat perlu bersiap sedia hadapi kenaikan harga minyak, kata Menteri Pelaburan Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat perlu bersiap sedia hadapi kenaikan harga minyak, kata Menteri Pelaburan Indonesia

(Gambar: ANTARA)

Diterbitkan : 12 Aug 2022 10:23PM Dikemas Kini : 12 Aug 2022 10:23PM

JAKARTA: Rakyat Indonesia mesti bersiap sedia menghadapi kenaikan harga minyak, sedang pemerintah negara cuba mengawal subsidi tenaga yang semakin meningkat di tengah-tengah harga minyak sejagat yang melambung tinggi, kata seorang menteri kabinet pada Jumaat (12 Ogos). 

Belanjawan subsidi tenaga bagi ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu sudah meningkat lebih dua kali ganda kepada 502 trilion rupiah (S$47 bilion) untuk memastikan sesetengah harga minyak dan tarif tenaga tidak berubah dan bagi mengawal inflasi. 

Sungguhpun demikian, ini mungkin belum cukup kerana hampir kesemua kuota minyak bersubsidi sudahpun digunakan, menurut kementerian kewangan negara itu. 

Menteri Investasi merangkap Kepala Badan Koordinasi Penanaman Modal  Indonesia Bahlil Lahadalia berkata, jika pemerintah perlu menaikkan kuota bagi gas bersubsidi kepada 29 juta kiloliter daripada 23 juta kiloliter dan seandainya harga minyak kekal tinggi dan rupiah melemah, maka jumlah subsidi boleh meningkat sehingga 600 trilion rupiah (S$56 bilion). 

"Harap maklum, saya rasa kita harus bersiap sedia sekiranya harga minyak terus meningkat," kata Encik Bahlil semasa sidang media, sekali gus menarik perhatian bahawa ia adalah sesuatu yang tidak berhemat secara fiskal untuk  memperuntukkan 25 peratus daripada pendapatan pemerintah bagi tujuan subsidi. 

"Beban negara adalah tinggi. Mungkin ini momentum untuk kita bekerjasama untuk memastikan kedudukan kewanganl kita sihat," tambahnya. 

Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati pada Khamis (11 Ogos) berkata beliau sudah mengarahkan syarikat tenaga negara Pertamina untuk menghadkan penjualan minyak bersubsidi. 

Para pakar ekonomi bagaimanapun mengkritik keputusan pemerintah untuk meningkatkan jumlah subsidi pada tahun ini, sambil menegaskan bahawa ia akan menyalurkan dana daripada projek-projek yang membawa kesan ekonomi yang lebih besar. 

Para pengkritik turut berpendapat bahawa jurang harga yang semakin melebar antara minyak bersubsidi dengan yang tidak bersubsidi telah merangsang peralihan pada corak penggunaan domestik dan mendorong penyeludupan ke negara-negaja jiran, menyebabkan kenaikan pada penjualan minyak bersubsidi. 

Kenaikan harga minyak dianggap sensitif di Indonesia dan keputusan sedemikian biasanya dibuat oleh ketua pemerintah. 

Langkah-langkah pemerintah untuk menaikkan harga minyak sebelum ini telah mencetuskan tunjuk perasaan di jalan raya.

Sumber : Reuters/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa