Skip to main content

Dunia

Rakyat Myanmar di AS ditawarkan perlindungan sementara

Pemerintah Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berkata bahawa warga Myanmar yang terkandas akibat keganasan berikutan rampasan kuasa tentera negara itu boleh kekal berada di Amerika Syarikat di bawah 'status dilindungi sementara'.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat Myanmar di AS ditawarkan perlindungan sementara

Setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS, Alejandro Mayorkas. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 13 Mar 2021 03:00PM Dikemas Kini : 13 Mar 2021 03:01PM

WASHINGTON: Pemerintah Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berkata bahawa warga Myanmar yang terkandas akibat keganasan berikutan rampasan kuasa tentera negara itu boleh kekal berada di Amerika Syarikat di bawah 'status dilindungi sementara'.

"Disebabkan rampasan kuasa tentera dan keganasan pasukan keselamatan terhadap orang awam, rakyat Burma (Myanmar) menderita satu krisis kemanusiaan yang rumit dan semakin teruk di banyak tempat di negara itu," kata Setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), Alejandro Mayorkas.

"Selepas mengkaji semula keadaan yang membimbangkan ini dengan teliti, saya memperuntukkan Burma bagi status dilindungi sementara supaya warganegaranya dan penduduk biasa dapat tinggal buat sementara waktu di Amerika Syarikat."

Amerika Syarikat telah memberikan status perlindungan TPS kepada warga dari sejumlah negara yang dilanda pergolakan politik atau bencana alam, yang menyukarkan mereka untuk pulang ke negara mereka.

Perlindungan itu biasanya ditetapkan untuk jangka waktu terbatas, seperti 12 bulan, tetapi boleh dilanjutkan jika kesukaran atau ancaman tetap wujud.

DHS menyatakan bahawa rampasan kuasa tentera Myanmar pada 1 Februari sudah menyebabkan krisis ekonomi dan kekurangan bantuan kemanusiaan dan perubatan.

Di samping itu, ia menyatakan orang-orang yang membantah rampasan kuasa itu berdepan penahanan sewenang-wenangnya, ugutan dan keganasan daripada pihak tentera.

"Keadaan seperti itu menghalang warga Burma dan penduduk biasa daripada pulang dengan selamat," kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Tempoh awal TPS adalah selama 18 bulan. DHS tidak menyatakan berapa ramai orang yang akan dilindungi.

Awal minggu ini pentadbiran Presiden Joe Biden menawarkan TPS untuk puluhan ribu rakyat Venezuela yang melarikan diri dari penindasan politik dan kemelut ekonomi di negara Amerika Selatan yang dahulunya kaya.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita