Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rakyat muak banyak sangat parti politik, kata Dr Ahmad Zahid

Kewujudan terlalu banyak parti politik di Malaysia akan menyebabkan rakyat muak dengan kepelbagaian ideologi, perbezaan pendapat yang akan membawa ekonomi negara terus dalam fasa ketidaktentuan, kata Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat muak banyak sangat parti politik, kata Dr Ahmad Zahid

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dr Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 09 Oct 2021 10:46PM Dikemas Kini : 09 Oct 2021 10:48PM

BAGAN DATUK: Kewujudan terlalu banyak parti politik di Malaysia akan menyebabkan rakyat muak dengan kepelbagaian ideologi, perbezaan pendapat yang akan membawa ekonomi negara terus dalam fasa ketidaktentuan, kata Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata landskap politik negara seharusnya terus maju ke hadapan dengan mengelakkan penambahan parti politik dan mengurangkan perbezaan ideologi serta pendapat, sekali gus bergerak dalam landasan yang sama untuk memajukan negara.

"Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, seseorang itu bebas untuk menubuhkan sebarang persatuan, pertubuhan mahupun parti politik. Tapi kita harus lihat jika negara kita mempunyai terlalu banyak parti politik, akan menimbulkan kepelbagaian dan tidak ada satu parti dominan yang menulang belakangi sistem demokrasi bagi membentuk kerajaan.

"Kami, tiada UMNO baru tiada UMNO lama. Kami ambil perkiraan, semua peringkat umur termasuk veteran. Jika ada perbezaan pendapat, ini sering diraikan setiap kepimpinan. Saya tidak fikir perlunya semangat untuk hidupkan sesuatu parti yang telah diharamkan pada 1988.

"Semangat itu perlu disuntik dalam UMNO yang sekarang. Mari kita berpadu supaya kita dapat bergerak dalam landasan yang sama. Bukan UMNO, Barisan Nasional sahaja harus diperkukuhkan tapi tiba masanya kita hentikan perbezaan ideologi politik demi negara tercinta," katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian selepas menyertai program vaksin ke rumah pesakit-pesakit terlantar bersama Menteri Pengajian Tinggi Dr Noraini Ahmad di sini, kira-kira 110 kilometer dari Ipoh hari ini (9 Okt).

Dr Ahmad Zahid mengulas laporan media bahawa Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li telah mengetuai mesyuarat dengan sekumpulan veteran UMNO bagi membincangkan usaha mewujudkan 'UMNO lama' semalam.

Pada 21 September lalu, Ku Li menyatakan hasrat menghidupkan semula 'UMNO lama' dan mengalu-alukan jika ada orang yang berminat untuk menyertainya.

BANYAK PARTI AKAN SEBABKAN MASYARAKAT BERPUAK-PUAK

Di Putrajaya, Naib Presiden UMNO Mahdzir Khalid berkata kewujudan banyak parti politik hanya akan menyebabkan masyarakat berpuak-puak terutama dalam kalangan orang Melayu.

Beliau berkata sebenarnya tiada keperluan untuk menubuhkan parti politik yang baru sebaliknya lebih baik menyertai parti politik sedia ada dalam negara.

"UMNO satu sudah cukup, ni kalau buat bagi banyak lagi, kita akan berpuak-puak. Ikutlah pakat-pakat dalam satu organisasi," katanya kepada media selepas menyertai Hari Sukan Negara 2021 peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar hari ini. 

Encik Mahdzir, yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media bahawa Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah telah mengetuai mesyuarat dengan sekumpulan veteran UMNO bagi membincangkan usaha mewujudkan 'UMNO lama' semalam.

Menyentuh cadangan penubuhan parti politik baru iaitu Parti Kuasa Rakyat, beliau berkata ketika ini sudah terlalu banyak parti politik dalam kalangan orang Melayu.

"Orang Melayu yang banyak sangat parti ni, rakan-rakan kaum Cina dan India tidak sebanyak orang Melayu. Tak taulah apa matlamat mereka (tubuh parti baru)," katanya.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan