Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rakyat M'sia harus pilih secara bijaksana agar dapat bina kerajaan stabil

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA TERENGGANU: Pilihan raya umum bukanlah medan untuk 'mencuba', sebaliknya setiap keputusan perlu dibuat secara bijaksana agar sebuah kerajaan yang stabil dapat dibina, sekali gus membawa kemakmuran kepada rakyat di Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Annuar Musa berkata jika rakyat memilih untuk mewujudkan kestabilan, mengurangkan perpecahan dan memperkasakan perpaduan, ia akan membuahkan hasil yang positif.

“Tidak boleh main acu cuba try... salah langkah dan cara maka rakyat yang akan terima akibat dan bila (negara) gagal dibina dengan baik, teratur dan kukuh maka kesejahteraan umat tak dapat disempurnakan.

“Ini perkara yang penting, untuk kembali stabil atau tidak, ia terletak di tangan rakyat. Tidak ada negara dapat dibangunkan tanpa kestabilan (politik)... Dalam dunia demokrasi kestabilan hanya boleh dibentuk oleh rakyat sendiri.

“Saya telah lihat bagaimana proses menguruskan negara sejak awal 90an sampai sekarang, boleh saya katakan sebenarnya menguruskan negara tidak mudah seperti yang difikirkan,” ucapnya pada Program Jelajah Sepakat@Komuniti di Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Terengganu pada Jumaat (21 Okt).

Encik Annuar berkata dalam alam politik Malaysia, ramai yang hanya tahu beretorik, bersemangat berpidato dan menabur pelbagai janji, namun apabila berada di tampuk kuasa, mereka gagal melaksanakannya.

“Tidak berlaku dalam sejarah di mana orang yang dapat mandat tidak dapat jalankan tanggungjawab hingga terpaksa tukar nakhoda terlalu kerap... setiap kali kerajaan bertukar, dasar bertukar, pelabur tidak yakin, banyak usaha majukan negara akan terencat.

“Jadi kita anggap yang kita lalui lima tahun kebelakangan ini, lepas Pilihan Raya Umum ke-14 Malaysia, sebagai pengajaran kepada semua dan sekarang kerajaan dah kembalikan mandat kepada rakyat, gunakan hak masing-masing mengundi dengan penuh kebijaksanaan,” katanya.

Encik Annuar berkata lagi sebagai caretaker, pihaknya bertanggungjawab untuk memastikan pilihan raya umum akan datang, dapat dilaksanakan dengan penuh keharmonian dan mengikut landasan undang-undang.

“Kita harap semua orang ambil peluang mengundi dan tidak terhalang untuk keluar mengundi dan keluar dengan rasa tanggungjawab, untuk dapatkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil kerana ada urusan besar lepas ini untuk pastikan kita dapat memacu negara ke hadapan agar makmur dan sejahtera,” katanya.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan