Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rakyat M'sia dinasihat berwaspada bahaya varian baru COVID-19, jerebu semasa Aidilfitri

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi menyarankan umat Islam di Malaysia yang menyambut Aidilfitri agar berhati-hati dengan varian baru COVID-19 iaitu XBB1.16 atau Arcturus.

“Kita harus lebih berhati-hati kerana varian baru ini kita tidak tahu kadar jangkitannya dan ia sangat terbuka serta cepat… Saya harap kita lebih berhati-hati sambil kita bergembira (menyambut Aidilfitri),” katanya kepada pemberita ketika meninjau jualan Aidilfitri di Jalan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur pada Jumaat (21 Apr). 

Dalam pada itu, orang awam turut dinasihatkan supaya lebih berhati-hati menyusuli fenomena jerebu yang kini melanda Malaysia, selain peningkatan kes COVID-19. 

Berikutan cuaca panas dan jerebu yang kini melanda negara itu, seorang pakar alam sekitar turut menasihatkan orang awam supaya menghadkan masa di luar rumah dan memakai pelitup semasa Hari Raya. 

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir berkata pemakaian pelitup adalah bagi mengurangkan pendedahan kepada bahan pencemar akibat jerebu serta melindungi sistem pernafasan.

“Ketika jerebu, dinasihatkan untuk memakai pelitup muka yang direka bentuk khusus untuk menapis pencemar udara seperti pelitup muka N95 atau N99.

“Bagaimanapun, perlu diingat bukan semua pelitup muka dibuat sama, ada yang mungkin tidak menyediakan perlindungan mencukupi terhadap pencemar udara. Penting untuk memilih pelitup muka yang menepati standard dan dipakai dengan betul bagi memastikan keberkesanan maksimum,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata situasi jerebu di Malaysia dijangka lebih serius tahun ini berbanding tiga tahun sebelum ini, ekoran aktiviti peladangan dan industri yang kembali beroperasi secara biasa pascapandemik. 

Sementara itu, menurut data rasmi Kementerian Kesihatan (KKM), jumlah kes COVID-19 di Malaysia meningkat 87.5 peratus dalam tempoh 14 hari hingga 8 April, manakala bilangan kemasukan ke wad naik 30.5 peratus. 

Pakar Kesihatan Awam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Mohammad Farhan Rusli berkata walaupun tiada prosedur operasi standard (SOP) khusus, orang awam perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan kendiri sebelum bersalaman dengan orang tua dan kanak-kanak semasa berkumpul. 

Beliau berkata kerap membasuh tangan dan mengamalkan penjarakan fizikal selamat dalam khalayak ramai, terutama dalam kalangan mereka yang tidak dikenali, juga adalah langkah perlindungan diri yang terbaik.

“Selain itu, bawa peralatan anda sendiri seperti sejadah apabila sembahyang di masjid. Jika boleh, ambil wuduk dahulu di rumah dan pakai pelitup muka sepanjang masa.

“Apabila anda rasa tidak sihat, elakkan perjumpaan beramai-ramai dan lakukan ujian kendiri. Sentiasa ingat, anda adalah orang terbaik untuk menjaga diri sendiri, bukan orang lain,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam Dr Hanafiah Bashirun mengingatkan bahawa Malaysia masih lagi dalam Fasa Peralihan Ke Endemik sejak 1 April tahun lepas dan kerajaan masih belum mengumumkan secara rasmi negara telah bebas daripada virus berbahaya itu.

“Kita masih di bawah peralihan ke endemik, justeru ada keringanan prosedur operasi standard (SOP) namun itu bukanlah alasan untuk tidak berhati-hati, khususnya dengan kewujudan subvarian baru COVID-19 seperti XBB,” katanya.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan