Skip to main content

Dunia

Rakyat Malaysia bantah kenyataan menteri Indonesia yang pertikai nilai bantuan untuk mangsa banjir

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat Malaysia bantah kenyataan menteri Indonesia yang pertikai nilai bantuan untuk mangsa banjir
Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian, semasa beliau muncul dalam podcast Suara Lokal Mengglobal. (Gambar: Petikan skrin dari video YouTube/HelmyYahyaBicara)
JAKARTA: Menteri Dalam Negeri Tito Karnavian menjadi tumpuan di media sosial menyusuli banjir di Sumatra.

Ini disebabkan kenyataan Encik Tito, yang menganggap bantuan yang diberikan Malaysia kepada Aceh sekadar bernilai Rp1 bilion (S$77,390).

Ini sedangkan nilai bantuan yang disalurkan oleh pemerintah Indonesia adalah jauh lebih besar daripada jumlah tersebut, menurut beliau.

“Saya terus mendapat maklumat daripada rakan-rakan di Aceh, ada pengusaha (Malaysia) ingin menawarkan bantuan dari segi ubat-ubatan.

"Selepas dikaji berapa banyak ubat-ubatan yang dihantar, nilainya lebih kurang Rp1 bilion. Ya, kalau bagi negara, untuk (jumlah) Rp1 bilion, kita mempunyai peruntukan yang jauh lebih besar daripada itu.

"Apa yang kami kerahkan juga jauh lebih besar daripada itu,” kata Encik Tito pada Selasa (16 Dis), seperti dipetik IDN Times.

“Jadi, jangan sampai nanti gambarannya seolah-olah kita mendapat bantuan daripada negara lain, sedangkan jumlahnya tidak seberapa berbanding kemampuan kita yang jauh lebih besar,” tambahnya.

Beliau juga tidak menafikan bahawa walaupun Presiden Prabowo Subianto belum menetapkan status bencana negara bagi kejadian banjir di Sumatra, negara luar masih boleh menyalurkan bantuan. Namun, bantuan tersebut mestilah benar-benar diperlukan.

“Bantuan antarabangsa boleh dilakukan melalui mekanisme Kementerian Luar Negeri. Tetapi, kami akan melihat dahulu bantuan itu dalam bentuk apa dan sebesar mana,” ujar mantan Ketua Polis Negara itu, seperti dipetik IDN Times.

Klip kenyataan Encik Tito itu tersebar luas di media sosial sejak Isnin lalu.

Kemarahan terhadap kenyataan Encik Tito bukan sahaja ditunjukkan oleh warganet Malaysia, malah juga warga Indonesia.

Sebahagian daripada mereka berpendapat bahawa Indonesia tidak perlu lagi menerima bantuan daripada Malaysia. Tambahan pula, negara jiran itu sendiri turut terkesan akibat Taufan Senyar sehingga mengalami banjir.

Mereka menilai bahawa Encik Tito sebagai Menteri Dalam Negeri tidak bersyukur atas bantuan daripada negara luar yang ditujukan kepada Aceh.

Malah, ada yang berpendapat bahawa negara jiran itu tidak mempunyai kewajipan untuk menangani bencana banjir di Sumatra kerana itu merupakan tanggungjawab pemerintah Prabowo Subianto.

Setakat ini, Encik Tito belum memberikan sebarang respons terhadap kenyataannya itu.

Sementara itu, Malaysia menghulurkan bantuan bukan sahaja secara langsung kepada Aceh, malah juga kepada pelajar Indonesia yang sedang menuntut ilmu di negara itu.

Kerajaan Malaysia akan memberikan bantuan sebanyak RM500 (S$160) seorang kepada pelajar dari Aceh, Sumatra Utara dan Sumatra Barat yang terkesan akibat banjir.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, bantuan tersebut diberikan sebagai tanda muhibah dan persahabatan yang erat antara Malaysia dengan Indonesia.

“Pelajar Indonesia yang terjejas boleh mendaftar di institusi pendidikan masing-masing supaya bantuan dapat diselaraskan dan diagihkan mengikut keperluan individu,” menurut kenyataan tersebut, seperti dipetik NST.

Kerajaan Malaysia juga menyampaikan ucapan takziah kepada masyarakat di Aceh dan Sumatra Utara atas kejadian banjir yang berlaku pada akhir November 2025.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita