Rakyat M'sia mula pulang mengundi
Rakyat Malaysia sudah mula pulang ke kampung halaman masing-masing sempena proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang diadakan kurang daripada 24 jam dari sekarang.
MUAR: Rakyat Malaysia sudah mula pulang ke kampung halaman masing-masing sempena proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang diadakan kurang daripada 24 jam dari sekarang.
Tinjauan wartawan BERITAMediacorp, Ahmad Dhafeer Zainodin mendapati bagi sesetengah keluarga, pilihan raya menimbulkan semacam cabaran apabila kesemua anggota yang tinggal bersama harus mengundi di pusat-pusat yang berlainan.
Seorang pemandu korporat dan pelancongan di Melaka Encik Sharuddin Mohd Yis berkongsi bagaimana kepulangannya ke Muar, Johor kali ini agak berlainan.
Lazimnya, beliau pulang seminggu sekali.
Namun minggu ini, beliau terpaksa pulang ke rumahnya di Muar semata-mata untuk melaksanakan tugas sebagai seorang rakyat Malaysia – mengundi pada pilihan raya esok (9 Mei).
"Saya terpaksa korbankan untuk hari mengundi, saya mungkin ada kehilangan sedikit pelanggan untuk Pilihan Raya ini tapi pada saya pun untuk negara, untuk menunaikan tanggungjawab" kata Encik Mohd Sharuddin.
Sebagai ketua keluarga yang tinggal bersama ibu, isteri, makcik dan adiknya, Encik Sharuddin harus merancang perjalanannya esok (9 Mei).
Apakan tidak, kelima-lima anggota keluarga yang tinggal bersamanya mengundi di pusat-pusat yang berlainan dan jauh antara satu sama lain.
Encik Sharuddin mengundi di Bukit Naning manakala isterinya pula harus mengundi di Pagoh.
Jarak di antara kedua-dua pusat dianggarkan sekitar 50 kilometer.
Ini tidak termasuk tiga lagi pusat berasingan buat ibu, adik dan makciknya.
Sudah menjadi satu perkara biasa di Malaysia sekiranya di kalangan anggota keluarga mempunyai pusat mengundi yang berbeza-beza. Ini kerana ramai yang tidak mengemaskini alamat mereka meskipun sudah berkahwin atau berpindah. Akibatnya ramai keluarga seperti keluarga Encik Sharuddin terpaksa menempuh perjalanan yang jauh untuk pergi ke pusat mengundi.
Menurut Encik Shaharurudin beliau dan keluarganya telah cuba menukar alamat setiap kali mereka berpindah.
Namun surat undi yang diterima tetap menunjukkan kawasan undi di alamat yang lama.
"Walaupun harus memandu jauh, saya dan keluarga teruja untuk melaksanakan tanggungjawab di pilihan raya ke-14 esok" ujarnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.