Rakyat M'sia lengkap divaksin boleh ke luar negara tanpa MTP mulai esok
Rakyat Malaysia yang lengkap menerima vaksin COVID-19 dibenarkan melakukan perjalanan ke luar negara tanpa MyTravelPass (MTP) Jabatan Imigresen berkuat kuasa esok (11 Okt), kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. (Gambar: BERNAMA)
PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang lengkap menerima vaksin COVID-19 dibenarkan melakukan perjalanan ke luar negara tanpa MyTravelPass (MTP) Jabatan Imigresen berkuat kuasa esok (11 Okt), kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata keputusan pemansuhan MTP antaranya untuk menghubungkan ahli keluarga dan pasangan yang terpisah iaitu rakyat Malaysia yang ke luar negara bagi tujuan bekerja dan mereka yang menjalankan urusan perniagaan.
“Bagaimanapun, kebenaran ini tertakluk kepada individu yang lengkap divaksin dan pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air,” katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan dan platform media sosial petang ini.
MTP diperkenalkan Jabatan Imigresen pada 7 Okt tahun lepas iaitu permohonan kebenaran masuk dan keluar negara bagi warganegara Malaysia dan warga asing yang perlu dibuat melalui sistem tersebut.
Ditanya sama ada pintu masuk negara dibuka kepada pelancong luar, Ismail Sabri berkata ia masih belum dibuka kecuali melibatkan urusan kecemasan dan urusan rasmi kerajaan.
“Kementerian Kesihatan (KKM) akan menilai pembukaan pintu masuk negara kepada pelancong luar negara dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.