Rakyat Johor akan nikmati hasil pendapatan JS-SEZ, kata Onn Hafiz
Kerajaan Negeri Johor akan memastikan hasil pendapatan daripada pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dapat dimanfaatkan seluruh rakyat negeri itu dan tidak tertumpu di kawasan sekitar zon berkenaan sahaja.
Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, ketika menyampaikan Insentif Memperkasa Komuniti Felda Negeri Johor 2025 ketika perasmian Jelajah Orang Johor (JOJ)@Daerah Kluang, di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Renggan, Kluang, pada 6 September 2025. (Gambar: Bernama)
Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi berkata setiap sen hasil daripada JS-SEZ akan disalurkan menerusi pelbagai insentif yang dirancang kerajaan negeri agar dinikmati rakyat di semua daerah.
Beliau berkata tidak mustahil perkara itu menjadi kenyataan memandangkan aktiviti ekonomi dijangka semakin rancak dengan kewujudan zon berkenaan, sekali gus mampu menjana pendapatan lumayan kepada negeri.
“Kita lihat kepimpinan kerajaan negeri kini memberikan tumpuan kepada aktiviti di JS-SEZ. Pada masa sama, rakyat juga dimaklumkan yang kita (kerajaan negeri) akan memperoleh hasil banyak daripadanya.
“Jadi, apabila hasil negeri dapat ditingkatkan… kerajaan negeri akan salurkannya untuk pembangunan yang menyeluruh,” kata beliau dalam ucapannya semasa merasmikan Program Jelajah Orang Johor (JOJ)@Daerah Kluang di TMIYC Renggam pada Sabtu (6 Sep).
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan Mohd Hairi Md Shah serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Lee Ting Han turut hadir di acara tersebut.
Sementara itu, Encik Onn Hafiz berkata kerajaan negeri yakin mampu mencapai kutipan terimaan hasil berjumlah RM2.5 bilion (S$760 juta) menjelang akhir tahun ini.
“Peningkatan daripada RM2.1 bilion (S$640 juta) yang diraih tahun lepas bukan hanya dilihat pada nilai angka semata-mata, sebaliknya kita akan terus komited untuk menterjemahkannya dengan merangka pelbagai inisiatif baharu,” kata beliau.
Pada masa yang sama, beliau menekankan bahawa ilmu dan pendidikan perlu diterapkan dalam usaha membangunkan Johor agar seiring dengan kepesatan pembangunan serta kemajuan sedang berlaku di negeri itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.