Skip to main content

Dunia

Rakyat Indonesia adakan bantahan, bidas elaun perumahan bulanan AS$3,000 buat para AP

Ratusan rakyat Indonesia berkumpul di jalanan pada Isnin (25 Ogos) untuk membantah faedah baharu pemerintah untuk Anggota Parlimennya, seperti elaun bulanan lebih tinggi bagi para AP, ketika negara sedang menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan langkah berjimat cermat oleh pemerintah.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat Indonesia adakan bantahan, bidas elaun perumahan bulanan AS$3,000 buat para AP

Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di daerah Senayan, Jakarta pada 25 Ogos 2025 untuk membantah elaun baharu serta kenaikan elaun yang diberikan kepada ahli parlimen. (Gambar: CNA/Wisnu Agung Prasetyo)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 25 Aug 2025 10:14PM
JAKARTA: Ratusan rakyat Indonesia berkumpul di jalanan pada Isnin (25 Ogos) untuk membantah faedah baharu pemerintah untuk Anggota Parlimennya, seperti elaun bulanan lebih tinggi bagi para AP, ketika negara sedang menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan langkah berjimat cermat oleh pemerintah.

Elaun perumahan bulanan baharu sebanyak 50 juta rupiah (S$3,945.69) untuk para AP adalah hampir 10 kali ganda gaji minimum di ibu kota dan bandar terbesar Indonesia, Jakarta.

Elaun itu diumumkan pada Selasa lalu, hanya beberapa hari selepas Presiden Prabowo Subianto berikrar untuk melaksanakan langkah berjimat cermat yang ketat dan perbelanjaan pemerintah yang lebih berkesan. Ia dianggap “tidak sensitif” oleh para pakar dan rakyat biasa Indonesia.

Selepas beberapa hari meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial, ratusan rakyat Indonesia daripada kumpulan pelajar dan pertubuhan lain memutuskan untuk mengadakan bantahan di luar bangunan parlimen di Jakarta.

Para penunjuk perasaan juga menuntut pemansuhan beberapa undang-undang, termasuk yang memperluaskan peranan tentera dalam pentadbiran.

Para penunjuk perasaan cuba merempuh penghadang besi dan konkrit, menyebabkan pihak berkuasa bertindak balas dengan menggunakan gas pemedih mata dan meriam air.

Sebahagian peserta berkata mereka menyertai bantahan itu kerana kecewa dengan sikap para penggubal dasar yang seolah-olah mengabaikan kesusahan rakyat biasa.

“Ini benar-benar memilukan. Ramai orang masih memperoleh kurang daripada 50,000 rupiah (S$3.95) sehari. Mereka sepatutnya melihat keadaan masyarakat Indonesia sekarang yang sangat teruk,” kata seorang mahasiswa universiti, Ivan, kepada Mediacorp.

Seorang lagi penunjuk perasaan, Zico, menyuarakan pandangan serupa: “Daripada memberikan elaun (kepada AP), wang itu sepatutnya digunakan untuk menaikkan gaji guru-guru supaya mereka dapat hidup dengan baik atau untuk mewujudkan pekerjaan.” Gaji bagi para guru di Indonesia adalah antara 1.2 juta (S$94.81) hingga 7 juta rupiah (S$553.06) sebulan.

Sekitar tengah hari, anggota polis di Jakarta berjaya menahan kemaraan penunjuk perasaan kira-kira 500 meter dari pintu utama parlimen, tetapi mereka kembali berkumpul beberapa jam kemudian. Pada pukul 3.00 petang, mereka cuba untuk mara lagi dan sekali lagi disembur dengan gas pemedih mata.

Tidak jelas sama ada terdapat sesiapa yang ditahan atau cedera semasa bantahan tersebut. Tunjuk perasaan itu menyebabkan beberapa jalan ditutup dan perkhidmatan kereta api serta bas digantung selama beberapa jam.

Penunjuk perasaan di bandar-bandar lain di seluruh Indonesia turut mengadakan bantahan secara serentak pada Isnin.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita