Skip to main content

Dunia

Rakyat Banda Aceh digesa waspada, tenang susuli gempa 5.4 Richter

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat Banda Aceh digesa waspada, tenang susuli gempa 5.4 Richter

Gempa bumi itu berlaku pada 9.58 pagi waktu tempatan dengan pusat gempa di darat, pada kedalaman 10 kilometer. (Gambar: @infomitigasi/X)

Diterbitkan : 31 Mar 2025 09:39AM Dikemas Kini : 31 Mar 2025 10:10AM
JAKARTA: Pihak berkuasa menggesa pemerintah tempatan dan orang ramai agar berwaspada terhadap kemungkinan gegaran susulan selepas gempa bumi bermagnitud 5.4 melanda Banda Aceh, ibu negeri Wilayah Aceh, pada Ahad pagi (30 Mac).

Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia menyeru penduduk supaya sentiasa mendapatkan maklumat terkini serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan berkaitan langkah kecemasan.

Dalam satu kenyataan, agensi itu turut memberi amaran mengenai kemungkinan berlaku aktiviti seismik susulan dan menasihatkan orang ramai agar bersedia menghadapi gegaran tambahan pada bila-bila masa.

"Sekiranya berlaku gempa bumi, kekal tenang dan elakkan panik. Berlindung di bawah meja yang kukuh, jauhkan diri daripada bahan kaca, dan segera keluar ke kawasan lapang sebaik gegaran berhenti," kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari.

Gempa bumi itu berlaku pada jam 9.58 pagi waktu tempatan dengan pusat gempa di darat, pada kedalaman 10 kilometer.

Walaupun tiada ancaman tsunami dilaporkan, gegaran selama dua hingga tiga saat itu menyebabkan bangunan berayun dan tingkap bergegar, katanya.

Laporan awal menunjukkan tiada kemalangan jiwa atau kerosakan besar akibat gempa bumi itu.
 
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita