Skip to main content

Dunia

Rakyat Amerika Syarikat adakan tunjuk perasaan baharu susuli kes tembakan maut di Minneapolis

Tunjuk perasaan baharu dirancang di seluruh Amerika Syarikat hujung minggu ini menyusuli kejadian tembakan yang membawa maut terhadap seorang wanita oleh pegawai imigresen di Minneapolis, sedang pegawai tempatan mengecam agensi persekutuan kerana mengecualikan mereka daripada siasatan.
Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat Amerika Syarikat adakan tunjuk perasaan baharu susuli kes tembakan maut di Minneapolis
Para penunjuk perasaan di Lafayette Square, Washington, DC pada 10 Januari 2026. (Gambar: AFP/Mandel Ngan)
MINNEAPOLIS: Tunjuk perasaan baharu dirancang di seluruh Amerika Syarikat hujung minggu ini menyusuli kejadian tembakan yang membawa maut terhadap seorang wanita oleh pegawai imigresen di Minneapolis, sedang pegawai tempatan mengecam agensi persekutuan kerana mengecualikan mereka daripada siasatan.

Para penganjur tunjuk perasaan menyatakan mereka menjangkakan lebih 1,000 tunjuk perasaan akan diadakan hujung minggu ini menyusuli pembunuhan pemandu kenderaan, Renee Good, 37 tahun, oleh seorang ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) pada Rabu (7 Jan).

Para pegawai di Minnesota di wilayah tengah barat Amerika Syarikat memaklumkan agensi penguat kuasa undang-undangnya diketepikan daripada siasatan ke atas kejadian tembakan itu.

Seorang pendakwa tempatan berkata pada Jumaat bahawa penyiasat persekutuan sudah mengambil kereta Cik Good serta kelongsong peluru dari lokasi kejadian.

Pentadbiran Encik Trump berusaha untuk menggambarkan Cik Good sebagai seorang “pengganas domestik”, sambil menegaskan bahawa ejen yang menembak dan menyebabkan kematiannya bertindak untuk mempertahankan diri.

Rakaman telefon bimbit yang dipercayai dirakam oleh pegawai yang melepaskan tembakan maut itu menunjukkan beliau berinteraksi dengan Cik Good semasa menghampiri dan mengelilingi keretanya, dan Cik Good berkata, “Saya tidak marah dengan awak”.

Selepas beliau berjalan di hadapan kereta itu, seorang ejen lain kedengaran mengarahkan Cik Good untuk keluar dari kenderaan sebelum beliau cuba untuk memandu pergi, dan bunyi tembakan kemudian kedengaran.

Rumah Putih menegaskan bahawa video itu menguatkan dakwaan pegawai tersebut bahawa beliau bertindak untuk mempertahankan diri - walaupun klip itu tidak menunjukkan saat di mana kereta tersebut bergerak untuk menjauh, atau ketika beliau melepaskan tembakan.

“Ini bukan masanya untuk mencabar peraturan. Ini masanya untuk mematuhi undang-undang… hakikat bahawa Jabatan Kehakiman pimpinan Pam Bondi dan pentadbiran presiden ini telah pun membuat kesimpulan mengenai fakta-fakta tersebut amat membimbangkan,” kata Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey, daripada Parti Democrat, dalam satu taklimat pada Jumaat.

“Kami tahu bahawa mereka telah pun menentukan sebahagian besar daripada hasil siasatan,” kata beliau, sambil menambah bahawa Biro Siasatan Jenayah wilayah itu, di bawah jabatan keselamatan awam, selama ini mengendalikan siasatan sedemikian secara konsisten.

“Mengapa tidak libatkan mereka dalam proses ini?” tanya Encik Frey.

Pada Khamis, Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance berkata pegawai ICE tersebut, yang dinamakan oleh media Amerika Syarikat sebagai Jonathan Ross, mempunyai “kekebalan mutlak” – satu dakwaan yang dipertikaikan oleh pendakwa tempatan.

Dokumen mahkamah yang dilihat AFP menunjukkan bahawa pada Jun 2025, Encik Ross pernah diseret sejauh 91 meter di atas jalan oleh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang menjadi subjek tindakan penguatkuasaan imigresen.

“Apabila FBI, apabila agensi persekutuan menyatakan mereka tidak akan berkongsi bukti dengan pihak berkuasa tempatan, orang awam tidak boleh mempercayai bahawa siasatan itu benar-benar telus dan menyeluruh,” kata penduduk tempatan, Patrick O’Shaughnessy, 43 tahun.

"KELUAR"

Para pegawai Minnesota menyatakan penyiasat tempatan pada awalnya dijemput oleh FBI untuk mengambil bahagian dalam siasatan ke atas penembakan Cik Good, namun kemudiannya dihalang daripada berbuat demikian.

Cik Good merupakan salah seorang daripada empat individu yang terbunuh oleh ICE sejak Encik Trump melancarkan tindakan keras imigresennya.

Pendakwa tempatan, Mary Moriarty, yang juga Peguam Daerah Hennepin County, berkata “matlamat kami sudah tentu adalah untuk memastikan satu siasatan menyeluruh dijalankan di peringkat tempatan”.

“FBI kini, sebagai contoh, memegang kereta Cik Good, kelongsong peluru dan rakaman temu bual para saksi.”

Cik Moriarty melancarkan satu portal bukti online, sambil menggesa orang ramai untuk mengemukakan maklumat supaya semua petunjuk yang ada dapat dikumpulkan.

Jurang antara pihak berkuasa tempatan dan persekutuan juga semakin melebar pada Jumaat apabila Setiausaha Pertanian Amerika Syarikat, Brooke Rollins, menggantung pembayaran pemberian kewangan pertanian persekutuan berjumlah AS$129.2 juta (S$166.28 juta), menurut sepucuk surat yang dimuat naiknya di X.

Pihak berkuasa persekutuan secara terbuka bertelagah dengan para pegawai Minnesota berhubung dakwaan bahawa para pendatang Somalia melakukan penipuan berskala besar untuk mendapatkan dana faedah awam, dengan Cik Rollins menuduh para pegawai tempatan “tidak mengendahkan” masalah itu.

Tunjuk perasaan diteruskan pada Jumaat dengan ratusan orang berkumpul di sebuah kemudahan persekutuan yang menjadi tumpuan tunjuk perasaan anti-ICE, dengan sekurang-kurangnya satu pemberkasan dilaporkan.

Para pegawai imigresen persekutuan yang bersenjatakan senapang peluru lada dan gas pemedih mata bertembung dengan orang ramai yang bising.

Beberapa pertubuhan masyarakat sivil dan kumpulan advokasi, termasuk Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU), merancang ratusan lagi tunjuk perasaan pada Sabtu dan Ahad.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita