Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rakan seperjuangan Leftenan Adnan, Ujang Mormin meninggal dunia pada usia 100 tahun

Veteran Perang Dunia Kedua Prebet Ujang Mormin, 100, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor lewat Selasa petang (9 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Rakan seperjuangan Leftenan Adnan, Ujang Mormin meninggal dunia pada usia 100 tahun

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 10 Feb 2021 10:24PM Dikemas Kini : 10 Feb 2021 10:32PM

SEREMBAN: Veteran Perang Dunia Kedua Prebet Ujang Mormin, 100, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor lewat Selasa petang (9 Feb).

Berita duka itu disahkan cucu saudara perempuannya Lailawati Jamil, 59, ketika dihubungi Bernama di sini, yang berkata arwah meninggal dunia pada 5.05 petang.

Menurutnya, Allahyarham Ujang yang dipanggil atuk itu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 26 Jan lalu selepas dikesan positif COVID-19.

“Pihak hospital telefon saya empat hari lepas memaklumkan arwah sudah kritikal, dan sejak dari itu setiap hari saya mengikuti perkembangan keadaannya menerusi panggilan video dan semalam pun saya sempat tanya keadaan atuk lagi.

“Sebelum ini arwah ada meluahkan kerinduan untuk berjumpa sanak saudara dan kawan-kawan, seakan-akan arwah tahu masanya dah tiba, tapi kerana keadaan COVID-19 ketika ini kami tidak dapat menziarahinya, saya rasa agak terkilan,” katanya.

Cik Lailawati berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan Allahyarham ialah pada awal Januari lepas di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.

Menyifatkan arwah sebagai seorang yang baik hati, pemaaf dan senang berkawan dengan orang ramai, Cik Lailawati berkata kematian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada keluarganya.

Menurutnya, urusan mandi, mengkafankan dan solat jenazah diatur oleh pihak Kementerian Kesihatan di Hospital Sungai Buloh kira-kira 9.00 pagi Selasa dan dikebumikan di Pusara Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Port Dickson pada tengah hari.

Menurut akhbar Utusan Malaysia, Allahyarham Ujang yang berasal dari Kampung Kundur, Rembau, Negeri Sembilan, pernah bersama-sama Allahyarham Leftenan Adnan Saidi bertempur di Pasir Panjang ketika tentera Jepun menyusup ke Singapura.  

Sumber : Bernama/Agensi berita/TQ/EM/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa