Skip to main content

Dunia

Rakan sekelas didakwa bunuh Irene Sofiya

Anggaran Waktu Membaca:
Rakan sekelas didakwa bunuh Irene Sofiya

Polis menahan pelajar lelaki yang juga rakan sekelas mangsa bagi membantu siasatan kes Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal. (Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)

Diterbitkan : 15 Oct 2026 12:43PM
  • Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat atas tuduhan membunuh Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16 tahun, di dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng pada 3 Oktober.
  • Prosiding dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno kerana tertuduh bawah umur, dengan pendakwaan oleh Juanita Mohd Said dan pembelaan oleh Mohd Azlan Shah Mohd Allias serta Suhaila Shafi'uddin Mohd.
  • Mahkamah menetapkan 22 Disember 2026 untuk sebutan semula bagi mendapatkan laporan forensik dan bedah siasat, manakala tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
  • Irene Sofiya ditemukan parah selepas tidak pulang dari kelas tambahan, dan Pengarah JSJ Bukit Aman M Kumar memaklumkan punca kematian ialah trauma kepala akibat objek tumpul.
Dijana oleh AI
BATU PAHAT: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Khamis (15 Okt) atas tuduhan membunuh Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16 tahun, di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, awal Oktober.

Prosiding tuduhan terhadap tertuduh dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno berikutan kes membabitkan pesalah bawah umur.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Irene Sofiya di dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng, antara pukul 2.30 petang hingga 4.00 petang pada 3 Oktober.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, lapor Sinar Harian.

Jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah juga boleh dikenakan hukuman sebatan sekurang-kurangnya 12 kali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd Said manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Azlan Shah Mohd Allias dan Suhaila Shafi'uddin Mohd.

Pengamal media yang berada di pekarangan mahkamah sejak pukul 8.00 pagi difahamkan tertuduh tiba di mahkamah seawal 7.00 pagi dan dilihat beredar sekitar 9.30 pagi selepas prosiding selesai.

Sementara itu, peguam, Mohd Azlan yang ditemui di luar kamar mahkamah memberitahu, mahkamah menetapkan 22 Disember 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan forensik dan bedah siasat.

Menurutnya, tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin berikutan tuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, katanya, remaja itu akan ditempatkan di bahagian berasingan dan tidak dicampurkan dengan pesalah atau tahanan reman dewasa mengikut prosedur ditetapkan.

Dalam kejadian sekitar 5.30 petang pada 3 Oktober, Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dengan kecederaan parah pada badan, dipercayai akibat dipukul menggunakan objek keras.

Mangsa yang juga anak tunggal didapati tidak pulang ke rumah selepas kelas tambahan berakhir.

Rakannya kemudian menemukan motosikal yang ditunggang Irene Sofiya berada di dalam kawasan sekolah sebelum pergi ke rumah datuk dan nenek mangsa di Kampung Parit Selamat, Yong Peng.

Nenek mangsa, Jameyah Rabani, 65 tahun, bersama ibu saudaranya, Siti Nur Faeza Khyar, 45 tahun, serta rakan mangsa kemudian ke sekolah untuk mencarinya sebelum menemukan remaja itu dalam keadaan parah di dewan sekolah.

Menyusuli kejadian itu, polis menahan pelajar lelaki yang juga rakan sekelas mangsa bagi membantu siasatan.

Suspek direman sejak 4 Oktober lalu dan tempoh remannya dijadualkan berakhir pada Khamis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar sebelum ini mendedahkan kecederaan trauma akibat objek tumpul di bahagian kepala disahkan sebagai punca kematian tragis Irene Sofiya.
Sumber : Agensi berita
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita