Skip to main content

Dunia

Rakan gabungan PM Anwar ikrar terus sokong kerajaan hingga tamat penggal

Anggaran Waktu Membaca:
Rakan gabungan PM Anwar ikrar terus sokong kerajaan hingga tamat penggal

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari semasa wawancara bersama Mediacorp. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 01 Jul 2026 07:05AM Dikemas Kini : 01 Jul 2026 07:06AM
KUALA LUMPUR: Rakan-rakan utama dalam kerajaan perpaduan Malaysia berjanji akan terus menyokong kerajaan sehingga tamat penggal, tidak kira apa pun keputusan pilihan raya negeri akan datang. Perkara itu dinyatakan oleh seorang pemimpin kanan daripada gabungan terbesar dalam kerajaan, iaitu Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amirudin Shari, memberitahu Mediacorp pada 24 Jun bahawa para pemimpin utama dalam kerajaan perpaduan sudah bertemu sebelum pilihan raya negeri diadakan. Pengundi di Johor akan keluar mengundi pada 11 Julai, manakala pengundi di Negeri Sembilan akan mengundi pada 1 Ogos.

PKR adalah parti pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan merupakan salah satu komponen utama dalam PH.

Encik Amirudin, yang juga Menteri Besar Selangor, berkata pertemuan itu melibatkan para pemimpin tertinggi PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Mereka mempunyai persetujuan untuk meneruskan kerajaan persekutuan, dan kerajaan tidak akan terjejas oleh keputusan pilihan raya negeri,” katanya.

Beliau berkata walaupun tiada perjanjian rasmi secara bertulis antara rakan-rakan gabungan, mereka sudah mencapai persetujuan berdasarkan komitmen secara lisan.

Dalam dua pilihan raya negeri itu, PH akan bertanding menentang BN, walaupun kedua-duanya merupakan rakan dalam kerajaan.

Hubungan antara dua gabungan itu menjadi tegang baru-baru ini selepas 14 ahli Dewan Undangan Negeri daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) di Negeri Sembilan menarik balik sokongan mereka terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun pada April lalu. Tindakan itu berkaitan cara beliau menangani krisis melibatkan institusi diraja negeri.

UMNO adalah parti komponen utama dalam gabungan BN.

BN kemudian mengumumkan pada 16 Mei bahawa ia akan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri Johor. Keputusan itu menerima kritikan hebat daripada pemimpin PH. Selepas itu, pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor diumumkan pada 1 Jun.

Tidak lama kemudian, pada 5 Jun, kerajaan Negeri Sembilan yang dipimpin PH mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri. PH dan BN berkata mereka akan bertanding secara berasingan dalam kedua-dua pilihan raya negeri itu.

Apabila ditanya sama ada pilihan raya ini boleh menyebabkan lebih banyak ketidakstabilan di peringkat persekutuan, Encik Amirudin berkata walaupun BN menarik diri daripada kerajaan perpaduan, kerajaan masih akan mempunyai majoriti mudah untuk menamatkan penggalnya.

Beliau menambah bahawa PM Anwar pernah berkata rakan-rakan seperti GPS dan GRS sudah memberi jaminan bahawa mereka akan menyokong kerajaan sehingga tamat penggal.

Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) Malaysia mesti diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2028.

“Dengan sokongan GRS dan GPS, kerajaan masih ada. Ia masih mempunyai majoriti mudah,” kata Encik Amirudin.

“Jaminan itu memberi keyakinan kepada perdana menteri untuk terus memimpin sehingga tamat penggalnya,” tambah beliau.

Sekurang-kurangnya 112 kerusi diperlukan untuk membentuk majoriti mudah dalam Parlimen Malaysia yang mempunyai 222 kerusi.

Buat masa ini, Dewan Rakyat, iaitu dewan rendah Parlimen Malaysia, mempunyai 220 Ahli Parlimen aktif daripada keseluruhan 222 kerusi. Dua kerusi masih kosong selepas peletakan jawatan Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa, iaitu Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, pada bulan Mei.

Daripada 220 kerusi aktif itu, PH mempunyai 77 kerusi, Barisan Nasional mempunyai 30 kerusi, GPS mempunyai 23 kerusi, manakala GRS mempunyai lapan kerusi.

Dengan sokongan Ahli Parlimen lain termasuk parti-parti kecil dan wakil bebas, kerajaan perpaduan kini mempunyai sokongan majoriti 145 Ahli Parlimen, menurut pelan tempat duduk terkini. Terdapat 75 Ahli Parlimen di blok pembangkang.

Encik Amirudin memberitahu Mediacorp bahawa beliau percaya semua gabungan dalam kerajaan perpaduan sudah belajar daripada ketidakstabilan politik yang berlaku antara 2018 dengan 2022. Tempoh itu menyaksikan beberapa kerajaan tumbang dan lima perdana menteri dilantik.

Sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)pada November 2022, Malaysia mengalami tempoh politik yang agak stabil, kata Encik Amirudin.

“PH bersama BN, GRS dan GPS setakat ini adalah gabungan yang besar, dan ia agak stabil dari segi politik nasional,” katanya.

Encik Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November 2022. Ini berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 tidak menghasilkan pemenang yang jelas dan menyebabkan Parlimen tergantung buat pertama kali dalam sejarah Malaysia.

Encik Amirudin berkata Encik Anwar tidak merancang untuk mengadakan pilihan raya umum sekarang, kerana tumpuan utamanya adalah untuk menstabilkan ekonomi yang sedang tertekan akibat ketegangan geopolitik di Timur Tengah.

“Beliau tidak berminat untuk pilihan raya diadakan sekarang,” katanya.

Beliau menambah bahawa BN mungkin sudah belajar daripada pengalaman mendesak pilihan raya umum awal empat tahun lalu, selepas mereka menang dalam Pilihan Raya Negeri Johor dan Melaka yang diadakan lebih awal pada tahun tersebut.

“Barisan Nasional juga perlu belajar. Mereka mendesak pilihan raya awal pada 2022. Sebelum itu, mereka menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri. Mereka hanya menang 30 kerusi dalam pilihan raya umum. Jadi semua pihak perlu belajar daripada sejarah,” katanya.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, berkata pada 27 Jun bahawa BN akan memastikan kerjasama penuh antara pentadbiran negeri dan Putrajaya bagi mengukuhkan kerajaan perpaduan sedia ada.

Encik Amirudin berkata kerajaan campuran adalah realiti politik baharu di Malaysia. Beliau berkata Malaysia boleh belajar daripada Jerman, yang sudah lama bergantung kepada perkongsian kuasa antara beberapa parti untuk mentadbir negara.

“Ia mesti menjadi gabungan antara gabungan,” katanya lagi.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita