Skip to main content

Dunia

Rakaman CCTV tunjuk pengebom nekad tenang masuk gereja Sri Lanka

Rakaman CCTV dikeluarkan yang menunjukkan pengebom nekad menepuk-nepuk kepala dan bahu seorang kanak-kanak sejurus sebelum dia memasuki sebuah gereja di Sri Lanka yang sesak dan melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakaman CCTV tunjuk pengebom nekad tenang masuk gereja Sri Lanka

Petikan gambar daripada rakaman CCTV menunjukkan suspek serangan nekad membawa beg galas memasuki Gereja St Sebastian di Negombo, Sri Lanka. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 25 Apr 2019 08:02AM Dikemas Kini : 25 Apr 2019 08:05AM

NEGOMBO: Rakaman CCTV dikeluarkan yang menunjukkan pengebom nekad menepuk-nepuk kepala dan bahu seorang kanak-kanak sejurus sebelum dia memasuki sebuah gereja di Sri Lanka yang sesak dan melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Petikan gambar daripada detik-detik terakhir rakaman tersebut memaparkan suasana tenang yang dipecahkan oleh siri serangan yang meragut lebih 350 nyawa di enam tempat merata negara itu.

Rakaman kamera keselamatan dari luar Gereja St Sebastian menunjukkan seorang lelaki berjambang berpakaian kemeja-T biru terang, seluar biru gelap dengan sepasang sandal muncul di sebatang jalan lalu menyeberangi halaman di luar gereja tersebut.

Apabila dia menghampiri sasarannya, lelaki itu berjalan sebelah seorang kanak-kanak perempuan lalu mengusap perlahan-lahan kepala dan bahu budak berkenaan. Kanak-kanak itu mengerling ke atas melihatnya sedang dia meneruskan perjalan ke arah gereja tersebut.

Di dalam gereja, ramai orang yang menghadiri upacara Hari Easter sedang bersiap sedia untuk meninggalkan tempat itu.

Para pengunjung yang tidak mempunyai tempat duduk dilihat berkumpul di luar gereja untuk upacara tersebut dengan sebilangan mereka mengendong anak masing-masing.

Menerusi rakaman daripada satu lagi kamera, suspek dilihat membongkok sedikit sambil berjalan, dengan tali beg galas yang disandang diikat pada pinggang serta dadanya - menggambarkan muatan berat berbahaya yang sedang dibawanya.

Suspek kemudian berjalan melewati dua pintu terbuka yang menghubungkan laluan ke gereja dengan laluan berbumbung di luar sebelum memasuki gereja menerusi pintu yang ketiga.

Dia mengambil beberapa langkah ke arah antara ruang tengah dengan mazbah.
Rakaman CCTV kemudian terus terpadam.

Bom yang diletuskannya memusnahkan gereja tersebut, membunuh puluhan mangsa di dalam serta sekitarnya.
Pembunuhan beramai-ramai pada Ahad (21 Apr) itu dipercayai yang paling dahsyat pernah berlaku di Sri Lanka. 

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita