Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rakaman audio kawalan trafik udara dedah komunikasi terakhir 3 anak kapal helikopter Black Hawk

Anggaran Waktu Membaca:
Rakaman audio kawalan trafik udara dedah komunikasi terakhir 3 anak kapal helikopter Black Hawk

(Gambar: Al Drago / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP)

Diterbitkan : 30 Jan 2025 07:33PM Dikemas Kini : 30 Jan 2025 07:35PM
WASHINGTON: Rakaman audio kawalan trafik udara mendedahkan detik-detik akhir sebelum dan selepas berlaku nahas antara pesawat American Airlines dengan helikopter Black Hawk di Washington pada Rabu malam (29 Jan).

Rakaman audio daripada LiveATC.net merakam komunikasi terakhir antara tiga anak kapal helikopter itu - yang diberikan tanda panggilan PAT25 - sebelum ia bertembung dengan jet Bombardier CRJ700 yang membawa 64 penumpang dan anak kapal.

"PAT25, adakah anda melihat CRJ? PAT25, lalu di belakang CRJ," kata seorang pengawal trafik udara pada pukul 8.47 malam pada Rabu.

Beberapa saat kemudian, sebuah pesawat lain menghubungi kawalan trafik udara lalu menyatakan "Menara, adakah anda menyaksikan ini?" - di mana ia merujuk kepada nahas yang berlaku.

Seorang pengawal trafik udara kemudian mengarahkan pesawat-pesawat lain yang sedang menuju ke landasan 33 di Lapangan Terbang Nasional Reagan Washington supaya mengelak kawasan itu.

Satu letupan di udara berlaku di Sungai Potomac yang berdekatan dengan lapangan terbang tersebut.

"Nahas, nahas, nahas, ini adalah amaran tiga," kata salah seorang pengawal trafik udara dalam rakaman audio sewaktu nahas itu berlaku.

"Saya tidak tahu sama ada anda melihat apa yang berlaku sebelum ini, tetapi berlaku nahas di laluan ke arah landasan 33. Kami akan hentikan operasi di landasan itu selama tempoh yang belum ditentukan," kata seorang lagi pengawal trafik udara.

"Kedua-dua helikopter dan pesawat berkenaan terjatuh ke dalam sungai," menurut seorang lagi pengawal trafik udara.

"Ia mungkin terjatuh di tengah-tengah sungai," katanya. "Saya ternampak bebola api lalu ia hilang begitu sahaja. Saya tidak nampak apa-apa lagi setelah ia terjatuh ke dalam sungai.Namun nahas itu melibatkan sebuah pesawat CRJ dan sebuah helikopter."

Kejadian nahas itu ditayangkan melalui kamera web di Pusat Seni Persembahan John F Kennedy di Washington.

Rakaman video tersebut memaparkan saat pesawat American Airlines terbakar lalu terjatuh selepas ia bertembung dengan helikopter.

Seorang pegawai Amerika berkata tiada pegawai kanan tentera AS berada dalam helikopter berkenaan, manakala Pasukan Luncur Ais Amerika Syarikat berkata beberapa atlit luncur ais negara berada dalam pesawat itu.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan