Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rak pasar raya kosong, kurang minyak; rakyat S'pura di Sri Lanka kongsi pengalaman di bawah perintah berkurung

Anggaran Waktu Membaca:

COLOMBO: Banyak yang sudah berubah sejak Encik Ramdzan Salim tiba di ibu kota  Sri Lanka pada Mac atas sebab kerja. 

Memandangkan tingkap bilik hotelnya menghadap Bangunan Parlimen Lama yang menempatkan pejabat presiden, rakyat Singapura itu dapat menyaksikan sendiri krisis politik dan ekonomi yang berlaku di Sri Lanka. 

Sejak beberapa minggu lalu, padang berdekatan bangunan itu menjadi saksi  bantahan yang semakin meningkat. Puluhan khemah juga dibangunkan di tapak itu sedang penunjuk perasaan meluahkan kemarahan mereka terhadap cara pemerintah menguruskan krisis kewangan Sri Lanka yang paling teruk dalam beberapa dekad.

"Padang hijau yang dahulunya sungguh aman, kini menjadi kampung sementara yang sesak dengan penunjuk perasaan yang melakukan bantahan secara aman," kata penyelaras projek itu semasa dihubungi Mediacorp pada Khamis (12 Mei). 

"Tunjuk perasaan setakat ini berjalan dengan  aman. Sebenarnya tunjuk perasaan ini juga dijadikan wadah untuk menampilkan beberapa penggiat seni tempatan dan juga meluahkan perasaan tidak puas hati mereka terhadap pemerintah," ujarnya. 

Namun, semuanya berubah pada Isnin (9 Mei) apabila penyokong pemerintah yang membawa batang kayu dan belantan menyerang penunjuk perasaan di Colombo, menyebabkan puluhan orang cedera. 

Susuli pertempuran itu, pihak berkuasa Sri Lanka mengerahkan ribuan anggota tentera dan polis untuk menguatkuasakan perintah berkurung. 

Menurut Encik Ramdzan, sekitar 120 hingga 150 penunjuk perasaan masih tampil setiap hari. 

RAK KOSONG, BEKALAN MINYAK BERKURANGAN

Apabila Mediacorp menghubungi Encik Ramdzan, beliau sedang bergegas untuk membeli barangan asas sebelum  perintah berkurung dilaksanakan. Ia sepatutnya ditarik balik pada pagi Rabu (11 Mei), namun dilanjutkan. Orang ramai tidak dibenarkan keluar mulai 2.00 petang pada Khamis (12 Mei) sehingga 6.00 pagi (8.30 pagi waktu Singapura) Jumaat (13 Mei). 

"Kami sudah menjalani perintah berkurung selama dua hari setakat ini, jadi anda boleh gambarkanlah yang orang ramai semua sudah kehabisan barangan asas dan barangan lain," kata Encik Ramdzan. 

"Beberapa barang seperti sayur-sayuran sudah habis dijual di pasar raya dan rak-raknya semua kosong. Terdapat juga kekurangan susu sejak dua bulan lalu," katanya, sambil menambah bahawa beliau sudah menyimpan bekalan  makanan dalam tin dan makanan lain yang tidak cepat rosak. 

Situasi itu turut menjejas kerjanya. 

"Kami langsung tidak boleh keluar hotel semalam kerana terdapat perintah berkurung dan jalan raya dikepung," katanya. 

"Minggu ini juga, tiada bekalan diesel sehingga Ahad (15 Mei). Jadi, kami harus kurangkan perjalanan," ujar Encik Ramdzan yang menambah bahawa kekurangan diesel itu meningkatkan purata waktu menunggu di stesen minyak sehingga tiga jam. 

Pada Khamis (12 Mei), Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) menasihatkan rakyat Singapura supaya menangguh semua perjalanan tidak penting ke Sri Lanka. 

MFA juga menggesa rakyat Singapura di Sri Lanka untuk berwaspada dan mengambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu demi keselamatan mereka. 

Encik Ramdzan sedang membuat aturan untuk pulang ke Singapura dalam masa 10 hari setelah selesai tugasnya. 

"Saya dengar keadaan masih lagi bergolak dan serangan masih berlaku di bahagian lain Sri Lanka. Namun, di Colombo, secara amnya, ia agak terkawal sekarang setelah keganasan meningkat pada Isnin (9 Mei), jadi saya tidak terlalu bimbang," katanya.

"Setakat ini, tidak ada sekatan perjalanan ulang-alik ke lapangan terbang, tetapi pelancong dan pelawat perniagaan harus menunjukkan tiket penerbangan dan pasport mereka supaya dapat melepasi hadangan di jalan raya." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan