Skip to main content

Dunia

Raja Thai kata pencalonan kakaknya bagi jawatan PM 'tidak wajar', 'langgar perlembagaan'

Raja Thailand Maha Vajiralongkorn berkata pencalonan kakaknya bagi jawatan perdana menteri dalam pilihan raya Mac ini "tidak wajar" dan "tidak mengikuti perlembagaan". 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Feb 2019 11:37AM Dikemas Kini : 10 Feb 2019 01:01AM

BANGKOK: Raja Thailand Maha Vajiralongkorn berkata pencalonan kakaknya bagi jawatan perdana menteri dalam pilihan raya Mac ini "tidak wajar" dan "tidak mengikuti perlembagaan".

Puteri Ubolratana Rajakanya pada Jumaat mengumumkan akan bertanding bagi jawatan perdana menteri dalam pilihan raya di negara itu pada 24 Mac ini. Beliau dicalonkan bagi mewakili Parti Raksa Chart Thai yang dikaitkan dengan mantan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Beliau akan bersaing dengan Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha, yang juga mengumumkan pada Jumaat hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya pada 24 Mac.

Penglibatannya yang mengejutkan dalam arena politik Thailand adalah yang pertama oleh seorang anggota kerabat diraja. Ia dijangka membentuk semula landskap politik negara itu.

Bagaimanapun, kenyataan lewat malam semalam dari pihak istana, jelas menunjukkan rasa tidak senang Raja terhadap langkahnya itu.

"Kedudukan raja dan keluarga diraja berada di atas politik," menurut kenyataan itu, yang diterbitkan oleh Warta Diraja dan diberi liputan meluas di televisyen.

Kenyataan itu tidak mengkritik Puteri Ubolratana, tetapi sebaliknya memuji kerja-kerja kebajikan awam yang dilakukannya.

Bagaimanapun ia kelihatan seakan-akan menyasarkan mereka yang berperanan di sebalik penglibatannya di bidang politik.

"Penglibatan seorang anggota berpangkat tinggi daripada keluarga diraja dalam bidang politik, dalam apa juga cara, adalah satu perbuatan yang bercanggah dengan tradisi, adat dan budaya, serta dianggap amat tidak wajar," menurut Raja Thailand.

Menurut kenyataan itu lagi, walaupun Puteri Ubolratana sudah melucutkan gelaran diraja, beliau masih lagi "sebahagian daripada dinasti Chakri" sekaligus menjadikannya sebahagian daripada keluarga diraja.

Permaisuri berusia 67 tahun itu ialah anak sulung mendiang Raja Bhumibol Adulyadej and Pemaisuri Sirikit.  

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita