Skip to main content

Dunia

Raja Saudi adakan mesyuarat kabinet dari hospital, dalam keadaan mantap

Raja Salman mengadakan mesyuarat kabinet menerusi persidangan video dari hospital di ibu kota Riyadh pada Selasa (21 Jul), sehari selepas raja Arab Saudi berusia 84 tahun itu dimasukkan ke hospital kerana mengalami keradangan pundi hempedu, menurut media negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Raja Saudi adakan mesyuarat kabinet dari hospital, dalam keadaan mantap

(Gambar fail)

Diterbitkan : 22 Jul 2020 09:27AM Dikemas Kini : 22 Jul 2020 09:33AM

RIYADH: Raja Salman mengadakan mesyuarat kabinet menerusi persidangan video dari hospital di ibu kota Riyadh pada Selasa (21 Jul), sehari selepas raja Arab Saudi berusia 84 tahun itu dimasukkan ke hospital kerana mengalami keradangan pundi hempedu, menurut media negara.

Tiga sumber Arab Saudi sebelum ini memberitahu Reuters bahawa raja berada dalam keadaan mantap.

Video raja itu mempengerusikan mesyuarat disiarkan di saluran televisyen Arab Saudi pada Selasa malam (21 Jul). Dalam video tanpa suara itu, Raja Salman dilihat membaca dokumen.

Raja Salman, yang memerintah negara pengeksport minyak terbesar dunia dan sekutu rapat Amerika Syarikat itu sejak 2015, menjalani pemeriksaan perubatan, menurut media negara pada Isnin (20 Jul) yang menukil kenyataan Mahkamah Diraja tanpa mendedahkan keterangan lanjut.

Tiga sumber rapat Saudi yang enggan nama mereka didedahkan memberitahu Reuters pada lewat Isnin dan Selesa bahawa raja berada dalam keadaan "baik".

Seorang pegawai daerah, yang meminta namanya dirahsiakan, berkata beliau berbicara dengan salah seorang putera Raja Salman pada Isnin. Mereka kelihatan "tenang" dan tidak menunjukkan sebarang rasa cemas tentang kesihatan raja tersebut.

Raja Salman kali terakhir bercakap di khalayak ramai pada 19 Mac dalam ucapan lima minit yang disiarkan di televisyen mengenai pandemik virus korona. Media negara telah menerbitkan gambar-gambar dan video raja mempengerusikan mesyuarat kabinet mingguan secara online.

Raja Salman memegang gelaran putera mahkota Saudi selama lebih 2.5 tahun dan menjadi timbalan perdana menteri pada Jun 2012 sebelum ditabalkan sebagai raja. Beliau juga berkhidmat sebagai gabenor Riyadh selama lebih 50 tahun.

Beliau menamakan putera bongsunya, Mohammed sebagai putera mahkota untuk mengambil alih takhta menyusuli rampasan kuasa istana pada tahun 2017 yang menyingkirkan Putera Mahkota ketika itu Mohammed bin Nayef. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Reuters/AY/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita