Skip to main content

Dunia

Raja Norway akan dibawa pulang tidak lama lagi selepas jalani pembedahan pasang perentak jantung di Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
Raja Norway akan dibawa pulang tidak lama lagi selepas jalani pembedahan pasang perentak jantung di Malaysia

Gambar: AP

Diterbitkan : 03 Mar 2024 04:33PM Dikemas Kini : 03 Mar 2024 04:34PM
LANGKAWI: Raja Norway, Raja Harald V yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi akan dibawa pulang tidak lama lagi.

Menurut kenyataan di laman web rasmi The Royal House of Norway, persiapan sedang dilakukan untuk membawa Raja Norway itu berangkat ke Lapangan Terbang Langkawi diiringi Raja Permaisuri.

Menurut kenyataan itu lagi, setibanya di tanah airnya, Raja Norway akan dimasukkan ke Hospital Rikshospitalet.

Raja itu akan bercuti sakit selama dua minggu dan sepanjang tempoh itu, Putera Mahkota akan bertindak sebagai pemangku raja dan memikul tugas baginda.

Media pada Sabtu (2 Mac) melaporkan Raja Harald V telah berjaya menjalani pembedahan untuk memasang perentak jantung (pacemaker) sementara di Hospital Sultanah Maliha.

Menurut Istana Norway, perentak jantung itu dipasang kerana kadar denyutan jantung Raja Norway rendah.

Menurut doktor peribadinya, Bjorn Bendz, Raja Harald V dalam keadaan baik tetapi masih memerlukan rehat.

Katanya lagi, prosedur itu menjadikan usaha membawa pulang Raja Norway ke tanah airnya menjadi lebih selamat.

Sebelum ini, pada Disember lalu, Raja Harald V dimasukkan ke hospital dengan jangkitan dan dirawat dengan antibiotik intravena.

Raja itu yang dilihat menggunakan tongkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menjalani pembedahan untuk menggantikan injap jantung pada Oktober 2020 selepas dimasukkan ke hospital akibat kesukaran bernafas.

Tugas Harald V adalah sebagai Ketua Negara Norway bagi majlis dan upacara rasmi negara dan tidak mempunyai kuasa politik.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita