Skip to main content

Dunia

Raja Jordan terima undangan Trump sertai Lembaga Keamanan Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
Raja Jordan terima undangan Trump sertai Lembaga Keamanan Gaza

Raja Abdullah II semasa berucap di Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Bersepadu (ICCS), 20 Jun 2019. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 19 Jan 2026 08:27AM Dikemas Kini : 19 Jan 2026 08:38AM
ISTANBUL: Raja Jordan Raja Abdullah II menerima undangan daripada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menyertai Lembaga Keamanan Gaza, menurut Kementerian Luar negara itu pada Ahad (18 Jan), lapor Anadolu Ajansi.

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Raja Abdullah sudah menerima undangan itu "untuk menyertai Lembaga Keamanan, dan dokumen berkaitan sedang disemak selaras dengan prosedur undang-undang dalaman".

"Jordan menghargai peranan kepimpinan Presiden Trump dalam mencapai gencatan senjata di Gaza, melancarkan pelan damai menyeluruh, serta usaha yang beliau lakukan untuk mencapai keselamatan, kestabilan dan keamanan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Dr Ali Shaath secara rasmi memulakan tugas sebagai Ketua Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG) pada Ahad, dan memaklumkan tindakan pertamanya adalah menerima pakai serta menandatangani kenyataan misi jawatankuasa itu.

Pada Jumaat (16 Jan) , Rumah Putih mengumumkan Ahli Jawatankuasa Gaza yang akan memantau peralihan kuasa di Carikan Gaza, sebagai sebahagian daripada Pelan 20 Perkara Presiden Trump untuk menamatkan perang Israel di wilayah berkenaan.

Dr Ali Shaath merupakan mantan timbalan menteri Palestin dalam Penguasa Palestin.

Menurut kenyataan Rumah Putih, Lembaga Eksekutif Gaza turut diumumkan bagi menyokong tadbir urus dan perkhidmatan, yang antara lain termasuk Menteri Luar Turki Hakan Fidan; utusan khas Trump, Steve Witkoff; menantu Encik Trump, Jared Kushner; mantan Perdana Menteri Britain Tony Blair; Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa Amiriah Arab Bersatu (UAE) Reem Al-Hashimy; diplomat veteran Qatar Ali Al-Thawadi serta Ketua Perisikan Mesir Hassan Rashad.

Encik Witkoff berkata pada Rabu fasa kedua pelan gencatan senjata Gaza sudah bermula, dengan tumpuan beralih kepada penyahtenteraan, tadbir urus teknokrat dan pembinaan semula.

Fasa pertama perjanjian itu berkuat kuasa pada 10 Oktober, menghentikan perang Israel yang mengorbankan lebih 71,000 orang dan mencederakan lebih 171,000 yang lain.
Sumber : Bernama/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita