Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Raja Charles III dimahkotakan dalam istiadat kemahkotaan pertama Britain dalam tempoh 70 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Raja Charles III dimahkotakan dalam istiadat kemahkotaan pertama Britain dalam tempoh 70 tahun

(Gambar: AFP/John Macdougall)

Diterbitkan : 06 May 2023 09:42AM Dikemas Kini : 06 May 2023 03:09PM

LONDON: Para pemimpin dunia berhimpun di London untuk menghadiri istiadat kemahkotaan Raja Charles III bagi Britain pada petang Sabtu (6 Mei) waktu Singapura.

Istiadat kemahkotaan itu yang pertama di Britain dalam masa 70 tahun dan berlangsung lapan bulan selepas kematian ibunya, Ratu Elizabeth II, pada usia 96 tahun.

Upacara bersejarah itu dijadual disertai kira-kira 100 ketua negara dan orang kenamaan, raja dan permaisuri dari seluruh dunia, selebriti, wira dan keluarga, dengan Duke of Sussex dijangka hadir. 

Presiden Halimah Yacob akan menghadiri istiadat kemahkotaan Raja Charles III sempena lawatannya ke London dari 4 hingga 7 Mei atas undangan kerajaan Britain, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataan medianya pada Rabu (3 Mei).

Tetamu jemputan termasuk David dan Victoria Beckham, pemuzik Lionel Richie, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Raja Willem-Alexander dan Ratu Maxima dari Belanda, Perdana Menteri Britain Rishi Sunak, dan Wanita Pertama AS Jill Biden.

Upacara kemahkotaan penuh istiadat itu dikendalikan Ketua Biskop Canterbury, Justin Welby dan disiarkan secara langsung ke seluruh dunia dari Westminster Abbey.

Laungan "God Save the King" akan kedengaran di sekitar biara selepas Mahkota St Edward yang diperbuat daripada emas padu dimahkotakan ke atas Raja Charles III oleh Ketua Biskop Welby.

Upacara berkenaan menyaksikan operasi istiadat terbesar tentera sejak pertabalan Ratu Elizabeth pada 1953, yang disertai 9,000 anggota tentera manakala 7,000 daripadanya melaksanakan peranan istiadat dan sokongan.

Operasi keselamatan besar-besaran, digelar Golden Orb, sedang dijalankan yang akan menyaksikan 11,500 anggota polis bertugas pada Sabtu.

Istiadat kemahkotaan Raja Charles III itu juga dijangka menyaksikan gabungan menarik antara adat tradisi berusia hampir 1,000 tahun lalu, dengan upacara moden yang menggambarkan pelbagai kepercayaan dan budaya di Britain, menurut Perintah Perkhidmatan.

Istiadat sejak berabad lalu itu, diubah suai dengan keperluan semasa, yang mana upacara Raja Charles III buat pertama kalinya akan merangkumi perarakan pemimpin agama dan pembabitan pelbagai pihak yang mencerminkan kepelbagaian United Kingdom serta penduduknya, iaitu berbeza dengan 70 tahun lalu.

Sebagai Raja, beliau yang juga adalah gabenor tertinggi Gereja England dengan gelaran 'Pelindung Kepercayaan', sebelum ini, mempertahankan kedudukannya yang ingin menjadi pembela semua agama.

Raja Charles III sering menekankan komitmennya terhadap pelbagai agama antaranya Kristian, Yahudi, Islam, Buddha dan Sikh.

Menurut Perintah Perkhidmatan, Raja Charles III akan berdoa buat kali pertama pada istiadat kemahkotaan secara terbuka bagi memohon rahmat dan berkat kepada semua daripada setiap kepercayaan.

Turut dijangka berlangsung ialah upacara penyampaian alat kebesaran diraja yang bersejarah kepada Raja, termasuk tongkat kerajaan dan cokmar, cincin dan sudu, di mana ia akan 'mencerminkan kepelbagaian United Kingdom dan rakyatnya, berbeza dengan 70 tahun lalu.'

Keprihatinan Raja Charles III terhadap alam semula jadi juga akan diterjemahkan dalam pakaian isterinya, Raja Permaisuri Camilla, yang turut dijadual dimahkotakan, hari ini.

Sumber : Reuters/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan