Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Raja Charles III contohi 'mama tersayang', ikrar berkhidmat sepanjang hayat

Anggaran Waktu Membaca:
Raja Charles III contohi 'mama tersayang', ikrar berkhidmat sepanjang hayat

Raja Charles III (Gambar: Yui Mok / POOL / AFP)

Diterbitkan : 10 Sep 2022 07:40AM Dikemas Kini : 10 Sep 2022 02:38PM

LONDON: Raja Charles III berikrar untuk mencontohi Ratu Elizabeth II yang 'berkhidmat sepanjang hayat', ketika menyampaikan perutusan sulung kepada Britain dan Komanwel, pada tengah hari Jumaat, (9 Sep) waktu tempatan,  selepas menaiki takhta berikutan kemangkatan ibunya. 

Dalam ucapan penuh emosi dari Istana Buckingham, Raja Charles, 73 tahun mengucapkan terima kasih kepada "mama tersayang" atas "cinta dan baktinya kepada keluarga kami dan kepada negara".

"Seperti yang Ratu sendiri lakukan dengan pengabdian yang tidak berbelah bahagi, saya juga kini sesungguhnya berjanji pada diri saya sepanjang hidup saya, dengan rahmat Tuhan, untuk menegakkan prinsip perlembagaan di negara kita,” titah Raja Charles.

Terdahulu, beliau menguntumkan senyuman sambil berjabat tangan dengan beberapa orang daripada ribuan rakyat yang berhimpun memberi penghormatan di luar Istana Buckingham ketika kembali ke London berikutan kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Dengan melaungkan 'God save the King' sambil diiringi lagu kebangsaan, ribuan orang menyambut Raja Charles dan Ratu Camilla selepas mereka berdua keluar dari kereta sebaik tiba menaiki penerbangan dari Scotland.

Raja Charles yang mengadakan pertemuan pertamanya dengan Perdana Menteri Liz Truss, turut Raja Charles III turut mengumumkan bahawa putera sulungnya, William yang juga pewaris takhta seterusnya, kini bergelar 'Putera Wales', manakala isterinya, Kate Middleton pula 'Puteri Wales' - gelaran yang pernah disandang ibu Putera William, Puteri Diana yang meninggal dunia pada 1997.

Dalam pada itu, beliau juga menzahirkan 'kasih sayang' kepada putera kedua, Harry dan isterinya, Meghan Markle yang kini menetap di Amerika Syarikat (AS).

Ketika perutusan itu disampaikan, kira-kira 2,000 orang menghadiri majlis perkabungan memperingati Ratu Elizabeth II di Katedral St Paul di London.

Ia termasuk Perdana Menteri Liz Truss, anggota kerajaan dan orang awam.

Susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II yang menduduki takhta selama 70 tahun, Raja Charles III dan kerabat diraja berkabung mulai semalam hinggalah tujuh hari selepas mendiang disemadikan.

Tarikh upacara persemadian itu yang bakal dihadiri pemimpin negara dan kerajaan, masih belum diumumkan secara rasmi tetapi dijangkakan pada 19 September ini.

Sumber : Agensi berita/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan