Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rafizi dibebaskan tuduhan tohmah tabung haji

Mahkamah Majistret hari ini (27 Feb) melepaskan dan membebaskan bekas anggota Parlimen Pandan Encik Mohd Rafizi Ramli atas tuduhan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji menerusi akaun Facebooknya, tiga tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Rafizi dibebaskan tuduhan tohmah tabung haji

Rafizi Ramli. (Gambar fail: AFP/Saeed Khan)

Diterbitkan : 27 Feb 2019 07:28PM Dikemas Kini : 27 Feb 2019 07:31PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret hari ini (27 Feb) melepaskan dan membebaskan bekas anggota Parlimen Pandan Encik Mohd Rafizi Ramli atas tuduhan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji menerusi akaun Facebooknya, tiga tahun lalu.

Majistret Umzarul An-Nur Umar membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nadia Zulkefli memaklumkan Jabatan Peguam Negara menerima representasi yang dikemukakan Encik Mohd Rafizi, 42 tahun, pada 24 Jan lalu, untuk menarik balik pertuduhan ke atasnya.

“Pendakwaan menerima arahan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Encik Mohd Rafizi, mohon tertuduh dilepas dan dibebaskan,” katanya pada prosiding hari pertama untuk Encik Mohd Rafizi membela dirinya, hari ini.

Pada 25 Sept 2018, Encik Mohd Rafizi, yang merupakan Naib Presiden PKR, diperintah membela diri atas pertuduhan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 8 April 2016, Encik Mohd Rafizi, mengaku tidak bersalah menyiarkan artikel bertajuk ‘Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015’ dalam akaun Facebook Encik Rafizi Ramli bertarikh 9 Feb 2016 yang mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Tiga saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula 22 ogos 2017.

Encik Mohd Rafizi dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak di sini, pada jam 9.00 pagi, 18 Feb 2016 mengikut Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding hari ini, Encik Mohd Rafizi diwakili peguam Encik Adi Zulkarnain Zulkafli dan Encik Md Yunos Shariff.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan