Skip to main content

Dunia

Queensland tarik balik kebanyakan sekatan sempadan negeri untuk rangsang ekonomi

Queensland pada Selasa (1 Dis) menarik balik sekatan sempadan antara dua negeri didiami paling ramai penduduk di Australia buat pertama kali dalam tempoh lebih lapan bulan, menyatukan kembali keluarga-keluarga dan membantu pemulihan ekonomi negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Queensland tarik balik kebanyakan sekatan sempadan negeri untuk rangsang ekonomi

Keluarga disatukan semula setelah tiba dari Melbourne, Australia di Lapangan Terbang Negeri Brisbane pada 1 Dis 2020 (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 01 Dec 2020 01:47PM Dikemas Kini : 01 Dec 2020 01:51PM

SYDNEY: Queensland pada Selasa (1 Dis) menarik balik sekatan sempadan antara dua negeri didiami paling ramai penduduk di Australia buat pertama kali dalam tempoh lebih lapan bulan, menyatukan kembali keluarga-keluarga dan membantu pemulihan ekonomi negara itu.

Penduduk dari seluruh New South Wales (NSW) dan Victoria kini akan dibenarkan untuk bebas melakukan perjalanan ke Queensland. Beberapa kawasan di NSW buat tempoh seketika diizinkan untuk melakukan perjalanan ke Queensland pada Julai, namun kelonggaran itu dengan cepat ditarik balik.

Pusat pemeriksaan jalan raya antara Queensland dengan NSW tidak lagi berkuatkuasa pada awal Selasa, manakala penerbangan pertama mendarat pada 6.00 pagi waktu tempatan dengan para penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Brisbane disambut oleh seorang penyanyi dan pemain piano.

"Saya akan bertemu dengan ayah. Ibu meninggal dunia pada Januari dan ia sangat perit," kata seorang wanita kepada Australian Broadcasting Corp tanpa mendedahkan namanya.

Queensland, sebuah destinasi percutian popular, telah melaksanakan antara sekatan sempadan paling ketat di Australia. Meskipun ia menerima sokongan kebanyakan penduduk negeri itu, langkah tersebut mencetuskan kemarahan para pemimpin persekutuan yang menegaskan bahawa ia tidak perlu memandangkan NSW hanya mencatat beberapa kes sahaja setiap hari.

Sejak itu, NSW dan Victoria tidak mencatat sebarang jangkitan tempatan selama lebih tiga minggu berturut-turut.

Dengan perjalanan antarabangsa masih disekat, Queensland mengharapkan gelombang pelancong tempatan untuk musim panas ini.

Sebanyak 26 penerbangan dijadualkan tiba di Queensland dari Victoria dan NSW pada Selasa.

Para penduduk Australia Selatan masih tidak dibenarkan melakukan perjalanan ke Queensland setelah lebih 30 kes dikesan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Australia mencatat hampir 28,000 jangkitan COVID-19 setakat ini, menurut perangkaan kementerian kesihatan. Ini adalah jauh lebih rendah berbanding negara-negara maju lain. Victoria membentuk lebih daripada 90 peratus daripada 905 kematian di negara itu.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita